Bil elektrik Julai mencanak, TNB sahkan terdapat ralat, graf kurang tepat buat sementara waktu


  • Massa
  • Selasa, 08 Jul 2025

TNB akan menyelesaikan perkara tersebut selain memberi jaminan bahawa bacaan bagi Julai tidak akan terjejas.

AWAL bulan ini, kecoh diperkatakan di media sosial selepas orang ramai terkejut dengan bacaan graf elektrik yang terlalu tinggi meskipun baru sahaja lapan hari berlalu dalam Julai.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi akaun Facebook TNB Careline pada Selasa menjelaskan terdapat kesilapan teknikal yang berlaku sehingga mengganggu bacaan setakat ini.

"Atas isu teknikal, terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan bulan Julai tidak tepat dan graf tersebut tidak dipaparkan buat sementara waktu.

BACA LAGI: [VIDEO] Jimat elektrik boleh kurangkan risiko kebakaran

BACA LAGI: Di ambang tarif elektrik baharu, pengguna ambil sikap 'tunggu dan lihat'

Kami ingin memberi jaminan bahawa bacaan penggunaan bulan Julai tidak terjejas. Pelanggan boleh menyemak bil muktamad selepas tempoh pengebilan. Kami sedang mengambil tindakan dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," tulisnya.

Orang ramai menyedari kenaikan taraf masing-masing menerusi semakan di aplikasi myTNB. Agensi

Sejak beberapa hari lalu, keluhan dikongsikan di media sosial apabila orang ramai gusar akan pelaksanaan kadar baharu yang dikhuatiri meningkatkan bil bayaran bulanan masing-masing.

Meskipun terdapat perubahan sedemikian, kenaikan mendadak sudah tentu mencetuskan kebimbingan kerana masing-masing masih berada di tahap penggunaan sama, namun dikenakan caj terlalu tinggi.

Kenyataan dikeluarkan TNB itu sudah tentu meredakan situasi dengan syarikat berkenaan turut menerima sebarang pertanyaan disalurkan menerusi aplikasi atas talian mahupun hubungi nombor telefon ditetapkan.

Sebelum ini, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menggunakan kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan kerajaan.

Penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation -IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (Regulatory Period 4 - RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram