Sambil gendong bayi, ibu nekad lompat keluar tingkap dari aras dua rumah, terkilan 2 anak rentung


  • Bonda
  • Ahad, 20 Jul 2025

Novi mendukung bayinya dan melompat keluar dari tingkap rumah sejurus mengetahui kebakaran berlaku.

IBU berusia 28 tahun nekad terjun dari tingkat dua rumah bersama bayinya berusia tiga bulan dalam usaha menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku di Bukit Duri, Jakarta Selatan, Indonesia pada Sabtu malam.

Mangsa, Novi berkata, kejadian berlaku ketika beliau dan empat anaknya sedang tidur di tingkat atas rumah sewa dua tingkat. 

"Ada saya dan anak-anak ketika itu. Suami sedang bekerja," katanya ketika ditemui di khemah pemindahan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD).

BACA LAGI: Hasrat bercuti bertukar tragedi, budak 10 tahun trauma ibu bapa masih hilang akibat insiden bot terbalik di Teluk Ha Long

BACA LAGI: 'Kami sekufu tapi dia lebihkan ibu', lelaki kenakan syarat tinggal bersama bakal mentua, wanita pilih undur diri

Menurut Novi, beliau terjaga selepas terhidu asap tebal dan menyedari tangga utama sudah dijilat api. 

Dalam keadaan panik, beliau mendukung bayinya dan melompat keluar dari tingkap rumah.

"Saya ajak anak-anak ikut terjun, tetapi mereka takut. Dua anak saya lari cari jalan lain," katanya.

Novi mengalami kecederaan pada kaki dan belakang badan akibat terjun dari tingkat dua, namun bayinya terselamat.

Anak sulungnya, Rofiah, 9, berjaya keluar melalui laluan lain.

Bagaimanapun, dua lagi anaknya, Nurul Azkia, 7, dan Azizah, 4, gagal diselamatkan selepas terperangkap dalam kebakaran.

Kebakaran itu turut meragut dua lagi nyawa kanak-kanak lain iaitu Putri Lafina, 11, dan Jannisah Aisha, 3.

Kesemua mangsa yang terselamat kini berlindung di khemah sementara berhampiran lokasi kejadian, manakala mayat mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati bagi tujuan pengecaman dan urusan pengebumian.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kebakaran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram