SEORANG pengguna jalan raya berdepan detik cemas apabila keretanya dibaling objek ketika memandu kereta berhampiran Stesen Monorel Hang Tuah, Kuala Lumpur.
Insiden itu dikongsikan mangsa, Ahmad Zufar menerusi laman Facebook DashCam Owners Malaysia melalui satu video pendek berdurasi 20 saat pada Sabtu.
Video kamera papan pemuka (dashcam) itu menunjukkan seorang individu tidak dikenali membaling sesuatu tepat ke cermin depan keretanya ketika dia melalui jalan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi pada Jumaat.
Lelaki berkenaan melemparkan objek dari laluan pejalan kaki ketika dia sedang memasuki susur kiri.
Katanya, dia mengesyaki perbuatan lelaki tersebut sebagai taktik yang digunakan untuk melakukan jenayah samun.
Dia tidak berhenti walaupun dibaling objek tersebut dan meneruskan perjalanan.
"Tak tahu la sama ada mamat ni kurang siuman, atau ada cubaan nak menyamun (contoh kita berhenti kereta kena serang dengan geng dia)," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Facebook Muhamad Nidzam, meminta orang ramai untuk berhati-hati melalui jalan berkenaan kerana kawasan itu sememangnya berbahaya pada waktu malam.
"Kawasan itu banyak 'alien' selain manusia. Perlu hati-hati sikit sebab bahaya," tulisnya.
Sementara itu, Munirah turut berkongsi pengalaman yang sama ketika melalui jalan tersebut.
"Saya pernah kena di kawasan tersebut bulan lalu. Balik kerja tengah malam, tiba-tiba ada orang baling kotak. Seram, nasib baik saya tak berhenti dan terus pecut," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram