[VIDEO] 'Ini Kepong aku punya', pemuda berlagak ‘abang kawasan’ mengamuk ketika operasi DBKL


  • Tular
  • Khamis, 17 Jul 2025

Tangkap layar seorang lelaki (bulatan) yang bertindak kasar serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penguat kuasa DBKL di Kepong baru-baru ini.

TINDAKAN biadab seorang lelaki yang didakwa bertindak kasar serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan kemarahan warga maya selepas video insiden berkenaan tular di media sosial sejak Rabu.

Difahamkan, kejadian berlaku di salah satu lokasi sekitar Kepong, Kuala Lumpur dipercayai susulan tindakan pihak DBKL menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan terbabit.

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, lelaki berpakaian serba hitam dilihat menengking beberapa anggota penguat kuasa sambil menghamburkan kata-kata ugutan dan penghinaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki berparang mengamuk ketika operasi roboh struktur haram DBKL dicekup

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 17 tahun maut dihempap pokok ketika memancing di Ayer Baloi

Malah, dia turut didakwa berkelakuan seperti ‘samseng’ dengan mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, termasuk mendakwa kawasan tersebut sebagai miliknya.

“Kau siapa? Kau siapa? Ini Kepong aku punya!” jeritnya sambil menghampiri anggota penguat kuasa dengan nada suara tinggi dan agresif.

Meskipun beberapa individu di lokasi cuba menenangkannya, lelaki terbabit tetap bertindak kurang ajar tanpa menunjukkan rasa hormat terhadap pihak berkuasa.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam sikap lelaki berkenaan dan mendesak agar tindakan tegas dikenakan terhadapnya.

Antara komen yang menarik perhatian termasuk daripada pengguna akaun X (Twitter) @jllmisai yang menasihati orang ramai agar tidak sesuka hati mencabar pihak berkuasa.

“Kalau nak tunjuk samseng, elakkanlah buat hal dengan DBKL. Nanti sia-sia saja kena viral. Team media dorang sekarang sangat aktif, setiap operasi dirakam,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Muiiz Rahman, turut meluahkan rasa kecewa dengan mentaliti ‘abang kawasan’ yang masih wujud dalam kalangan masyarakat.

“Masih wujud lagi noh cara sembang kawasan ni dia punya, kawasan tu dia pegang. Bila gaduh, terus keluar ayat macam ni… Aduhai, dengar pun malu.

"Sudahlah nak ‘claim’ kawasan selagi bukan tanah mak bapak hang, tak payah nak pandai-pandai mengaku,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Mitin Yubud pula secara sinis mempertikaikan dakwaan lelaki terbabit.

“Ini Kepong aku punya? Ada geran tanah ke? Dia lupa ni negara ada undang-undang,” ujarnya.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak DBKL mahupun pihak polis berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram