Konon nak sembuh penyakit, wanita berjemur dua jam hingga pendarahan otak, pakar perubatan tampil beri teguran


  • Sihat
  • Isnin, 21 Jul 2025

Wanita dilaporkan koma selepas berjemur selama dua jam di bawah panas terik dalam cubaan untuk merawat penyakit. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita berusia 67 tahun di Zhejiang, China dilaporkan koma selepas berjemur selama dua jam di bawah panas terik dalam cubaan untuk merawat penyakit.

Mangsa, dikenali sebagai Wang dipercayai cuba mengikut petua perubatan tradisional Cina (TCM) yang mengatakan bahawa dengan berjemur di bahagian belakang boleh memanaskan tenaga dalam badan, hilangkan lembapan dan menyembuhkan penyakit.

Sekitar waktu tengah hari, Wang meniarap di kawasan terbuka luar rumah dan berjemur selama dua jam.

BACA LAGI: 'Kalau ALLAH nak tunjuk', satu-persatu terbongkar, anak terbaca 'message' ayah dengan skandal dekat Facebook

BACA LAGI: Obama dedah cenderung minta maaf dulu lepas gaduh kecil dengan isteri, ungkap 'i love you'

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Wang tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan otak jenis aneurisma serta hernia otak yang mengancam nyawa.

Pengarah Jabatan Pemulihan Hospital Rakyat Wilayah Zhejiang, Dr Ye Xiangming berkata, pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan, namun wanita itu koma akibat kerosakan otak yang serius.

“Beliau menjalani proses pemulihan intensif termasuk akupuntur dan beberapa siri pembedahan. Selepas tempoh rawatan yang panjang, beliau kembali mampu duduk, berdiri, bercakap dan menyuap makanan,” katanya.

Dr Ye turut menegaskan bahawa kepercayaan kononnya berjemur boleh menyembuhkan pelbagai penyakit tidak mempunyai asas saintifik.

“Pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari dalam suhu tinggi amat berbahaya khususnya kepada golongan berusia serta mereka yang mempunyai penyakit seperti hipertensi atau masalah salur darah otak. Ia boleh menyebabkan strok haba atau angin ahmar,” katanya.

Laporan The Lancet pada 2023 menganggarkan seramai 50,900 kematian dicatatkan di China pada  2022 akibat strok haba.

Sementara itu, pempengaruh kesihatan yang mempunyai lebih 2.4 juta pengikut di media sosial, Zhuangshi Lihe turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend berbahaya itu.

"Ramai menyebarkan tip cara berjemur yang betul, tetapi itu hanyalah mitos tanpa bukti. 

"Fokus sebenar sepatutnya pada perlindungan daripada panas melampau, bukan sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, langkah paling selamat pada musim panas ialah kekal berada di dalam rumah yang berhawa dingin dan elak pendedahan luar yang tidak perlu.

Insiden itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial terutama di China, dengan ramai menyifatkan tindakan mangsa sebagai keterlaluan.

“Orang lain berjemur 20 minit, dia terus dua jam. Ini bukan rawatan, ini membahayakan nyawa,” tulis seorang pengguna.

“Berjemur tengah panas sampai koma? Jangan mudah percaya pada petua yang tiada bukti,” kata warga maya lain.   — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram