Momen parti hari jadi tukar mimpi ngeri, anak cedera tulang belakang, lumpuh gara-gara lompat trampolin


  • Bonda
  • Isnin, 21 Jul 2025

Anaknya mengalami kecederaan serius pada tulang belakang sehingga lumpuh selepas bermain trampolin. — Gambar hiasan/Media sosial

 

 

MUNGKIN ramai menganggap trampolin hanyalah permainan biasa yang menyeronokkan.

Ini disebabkan alat tersebut menjadi ruang untuk kanak-kanak menzahirkan keseronokan dengan melompat, ketawa dan melepaskan tenaga.

Ia sering dijadikan tarikan utama di parti hari jadi, taman permainan ataupun pusat hiburan keluarga.

BACA LAGI: Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru miliki kediaman lebih mahal — Ejen hartanah

BACA LAGI: Obama dedah cenderung minta maaf dulu lepas gaduh kecil dengan isteri, ungkap 'i love you'

Namun, di sebalik keseronokan itu, ada risiko yang tidak ramai sedar. Tersalah satu lompatan risiko membawa padah.

Baru-baru ini, terdapat perkongsian di Threads menceritakan pengalaman seorang ibu apabila anaknya mengalami kecederaan serius pada tulang belakang sehingga lumpuh dikatakan selepas bermain trampolin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada sambutan hari jadi terdapat trampolin yang menjadi tarikan utama di tengah-tengah taman permainan.

"Dalam sekelip mata, kegembiraan bertukar menjadi mimpi ngeri yang saya takkan lupa sampai bila-bila, Anak saya melompat sekali dan dia tidak bangun semula.

"Kami tak tahu apa yang berlaku sehinggalah doktor tunjukkan gambar imbasan tulang belakang anak saya. Waktu itu, dada rasa kosong," ceritanya.

Katanya, hasil imbasan menunjukkan tulang belakang anaknya patah, tulang terhimpit dan saraf tertekan yang kemudiannya memerlukan rawatan intensif dan pemulihan berpanjangan termasuk pemakaian alat sokongan serta rehat berbaring tanpa bergerak selama berminggu-minggu.

Beliau turut berkongsi mengenai pendedahan doktor bahawa tulang belakang kanak-kanak belum cukup kuat untuk serap hentakan yang berulang kali.

"Apabila lompat secara berturut-turut, tulang yang masih berkembang boleh tercedera walaupun dari luar nampak okey.

“Tak semua benda yang buat anak ketawa itu selamat. Jangan tunggu sampai anda tengok sendiri gambar Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dengan tulang yang retak,” tegasnya.

Beliau juga menasihatkan agar ibu bapa lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan anak-anak.

"Saya mohon sangat kepada semua penjaga. Kalau anak nak main trampolin, pastikan mereka dipantau dengan sangat ketat.

"Jangan benarkan ramai anak melompat serentak. Kalau boleh, elakkan terus. Pilih aktiviti yang lebih selamat untuk anak yang masih kecil," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram