
TELEVISION BROADCAST LIMITED (TVB), syarikat penyiaran terkemuka Hong Kong yang turut mengembangkan operasinya di Malaysia, berhasrat untuk terus memperluas capaian kandungan berkualiti kepada penonton pelbagai latar belakang bahasa dan budaya.
Pengurus Besar TVBI Company Limited (TVBI), Desmond Chan berkata, populariti drama TVB tidak hanya terhad kepada penonton berbangsa Cina, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan audiens berlainan bangsa di negara ini.
Berbekalkan pengalaman luas membawa masuk program-program berskala antarabangsa, Desmond mahu terus memacu syarikat yang ditubuhkan sejak 1967 tersebut ke tahap lebih tinggi, termasuk menyesuaikan kandungan untuk penonton tempatan.
BACA LAGI: Satu-satunya menantu perempuan, aktres Hong Kong terima hadiah lebih RM1.1 bilion dari bapa mentua
BACA LAGI: Demi sara 2 anak, bekas ratu cantik Hong Kong buat 'live' tutorial hingga lewat malam di TikTok
Desmond Chan menyifatkan drama TVB mendapat sambutan hebat dalam kalangan audiens berlainan bangsa di negara ini.
"TVB sememangnya terkenal dengan kekuatan dalam produksi drama. Malah, boleh dikatakan bahawa TVB merupakan antara syarikat penyiaran pertama di dunia yang menerbitkan drama Hong Kong secara konsisten dan berkualiti.
"Kekuatan drama TVB bukan hanya terletak pada penggunaan bahasa Kantonis, tetapi juga kerana ia mengandungi DNA komuniti Hong Kong itu sendiri.
“Kita tahu ramai rakyat Malaysia menggemari drama Hong Kong. Oleh itu, kami mahu memperkukuh lagi bahagian ini bukan sahaja dari segi kualiti, tetapi juga dengan memperluaskan akses kepada lebih ramai penonton,” katanya kepada Majoriti.
Atas sebab itu, pihak TVBI kini sedang berusaha untuk menambah baik pengalaman menonton dengan memperkenalkan sari kata dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang boleh didapati melalui saluran TVB Xing He.
"Jumlah penutur bahasa Cina di Malaysia hampir sama dengan Hong Kong iaitu kira-kira 7 juta. Namun, penutur bahasa Malaysia melebihi 20 juta. Jika kita mahu memperluas jangkauan penonton, maka audiens berbahasa Malaysia perlu diberi perhatian.
“Maka, penggunaan sari kata bahasa Malaysia adalah langkah penting untuk membantu mereka lebih menghayati jalan cerita drama-drama menarik di TVB,” tambah Desmond lagi.
Desmond turut berkongsi bahawa genre seperti cinta, aksi dan konflik kekeluargaan merupakan Top 3 paling banyak ditonton oleh audiens terbabit.
Bagaimanapun, ujar beliau, proses penyediaan sari kata itu bukan mudah sebaliknya antaranya proses mencabar.
“Kami cuba menggunakan AI untuk membuat terjamahan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia. Tetapi hasilnya kurang tepat.
Menurut beliau, AI masih belum mampu memahami konteks atau dialek tempatan, justeru campur tangan manusia sangat diperlukan dalam memastikan ketepatan terjemahan.
Mengulas lanjut, Desmond berkata, TVB memperkenalkan sari kata bahasa Malaysia sejak awal tahun ini, dan sambutannya amat menggalakkan.
“Kami berharap lebih ramai penonton khususnya audiens Melayu akan mengenali TVB dan hasil produksi kami.
Pada masa sama, Desmond berkata, TVB juga mahu meluaskan penawaran dengan menggunakan katalog harta intelek (IP), barisan artis dan keupayaan produksi yang kukuh untuk melangkah ke ruang hiburan baharu yang lebih interaktif serta bersifat digital.
Ini termasuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi untuk platform penstriman, serta melesenkan IP drama kepada industri permainan video.
Antara program-program yang menarik di TVB Xing He di bulan Julai adalah 'Stranger Anniversary', 'The Confidant' dan 'To Grow With Love'.
1. Stranger Anniversary
2. The Confidant
3. To Grow With Love
Penonton boleh melayari TVB Anywhere dengan memuat turun aplikasi di Google Play atau Apple App Store.
Jom tonton drama-drama menarik TVB di TVB Anywhere sekarang! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram