Terima gaji paling tinggi, pekerja hias kek bongkar rahsia strategi bisnes Walmart


  • Bisnes
  • Isnin, 07 Jul 2025

Kek di Walmart menerima tempahan tinggi daripada pelanggan di Amerika Syarikat kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding kek di kedai lain. — Agensi

SUASANA di dalam sebuah kedai Walmart di New Jersey, Amerika Syarikat hingar dengan suara pelanggan namun di satu sudut kelihatan seorang pekerja tekun meletakkan aising pada sebiji kek.

Rakannya pula menyediakan krim mentega untuk kek berlainan, manakala seorang lagi mengoleskan lapisan krim fondant kepada sebiji kek tiga tingkat.

Masing-masing sibuk menyiapkan tempahan memandangkan peruncit ternama di negara Uncle Sam itu menerima pesanan tinggi sempena musim konvokesyen.

BACA LAGI: Teruskan legasi ibu, anak pengasas Wardah guna kepakaran dermatologi pacu industri kosmetik halal

BACA LAGI: 'Penyaman udara rosak, kena gigit nyamuk', ruang makan terlalu daif jadi titik mula usahawan ambil alih restoran Peranakan di PJ

An employee makes a cake inside Walmart Supercenter on Wednesday, May 28, 2025, in North Bergen, N.J. (AP Photo/Andres Kudacki)

Penghias kek di Walmart merupakan pekerja yang dibayar gaji per jam paling tinggi. — Agensi

Kira-kira 6,200 kakitangan dilatih untuk menghasilkan hiasan kek mengikut tempahan pelanggan.

Kek-kek tersebut dihantar oleh pembekal dalam bentuk sejuk beku dan datang dalam pelbagai bentuk serta saiz.

Di Walmart, selain pengurus, artisan aising kek merupakan pekerja yang dibayar gaji per jam paling tinggi.

Mereka boleh menerima purata gaji sehihgga AS19.25 (RM81.39) sejam berbanding AS$18.25 (RM77.16) bagi pekerja lain di kedai tersebut.

Bagi Melissa Fernandez, 36, dia mula bekerja di Walmart North Bergen di New Jersey di bahagian barangan elektronik sebelum berpindah ke bakeri bagi mencari peluang gaji yang lebih baik.

Dia mahu menjadi artisan aising dan selepas dua bulan menjalani latihan, Fernandez mula mengendalikan beg paiping secara sepenuh masa pada tahun 2021.

"Saya suka membuat kek di rumah. Saya suka melakukan apa sahaja yang berkaitan seni dan sntiasa mahu menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Selepas 11 tahun bersama Walmart, Fernandez berkata, dia kini boleh meraih pendapatan kira-kira AS$24.40 (103.16) sejam.

Walaupun penghias kek Walmart dianggap antara pekerja 'elit' dalam syarikat itu, mereka turut menerima kritikan di media sosial.

Walmart mempromosikan produk bakeri mereka di TikTok, dan para pekerja yang menghasilkan kek-kek tersebut turut berkongsi hasil kerja melalui akaun peribadi masing-masing.

Kandungan menghias kek itu cukup popular di TikTok hingga mengundang kritikan segelintir pihak yang menganggap artisan aising di Walmart mencuri idea orang luar.

Golongan pekerja itu juga dianggap hanya penghias kek tidak seperti pengusaha kek profesional kerana produk Walmart dijual pada harga jauh lebih murah.

Selepas video kek Walmart berbentuk hati berharga AS$25 (RM105.70) dengan aising renda, tular di TikTok, beberapa pembuat kek profesional tampil menjelaskan mengapa kek mereka lebih mahal.

Perdebatan hangat tercetus di ruangan komen dengan ada yang melihat Walmart sebagai lambang keburukan sistem kapitalis, manakala yang lain berpendapat syarikat itu sekadar memenuhi keperluan orang ramai.

Di Walmart, sebiji kek yang boleh dijamu kepada kira-kira 96 orang dijual pada AS$59 (RM249.45) — hampir separuh lebih murah berbanding harga bagi kek bersaiz sama yang dijual kedai bakeri lain di AS.

Dengan tambahan hanya AS$5.20 (RM21.99), pelanggan Walmart boleh menambah strawberi atau 'krim Bavarian'.

Berdasarkan angka yang dikongsikan oleh Walmart, bahagian pasaran kek untuk majlis-majlis istimewa pada musim tertentu, ternyata besar.

Sekurang-kurangnya satu daripada empat kek yang dijual di Amerika Syarikat datang dari Walmart.

Para pekerja dijangka menghias lebih daripada setengah juta kek setiap bulan sepanjang musim panas, menurut jurucakap syarikat.

Kek dengan hiasan krim mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan. 

Menurut Pengurus Bahagian Makanan Segar Walmart North Bergen, Michael DeMarco, jumlah kek yang dihias setiap hari di kedai itu hampir berganda kepada 50 hingga 60 biji semasa musim graduasi, berbanding 30 hingga 35 biji sehari pada waktu lain.

Beliau mengiktiraf bakat artisan aising Walmart dan menganggap usaha mereka mempromosikan kek itu di TikTok sebagai antara faktor kejayaan.

“Kami terima ramai pelanggan yang membuat pembelian berulang. Perniagaan jadi lebih rancak hanya kerana kek viral ini,” kata DeMarco.

Seperti Fernandez sendiri, dia mencipta fenomena tersendiri di TikTok selepas meraih hampir setengah juta tontonan yang menyaksikan dirinya menghias 12 biji kek cawan yang dihias secara individu dan disusun menyerupai sejambak bunga.

Kek berkenaan merupakan antara kek paling popular di cawangan North Bergen pada bulan Mei, menurut jurucakap syarikat.

Kata Fernandez, kek berbentuk hati serta kek yang direka menyerupai makanan seperti sushi atau spageti dan bebola daging, turut mendapat sambutan hangat.

“TikTok bantu saya kekal mengikuti perkembangan semasa.

“Banyak trend yang saya dapat dari aplikasi itu. Pelanggan akan datang dan bertanya mengenainya. Jadi ia membantu saya agar kekal relevan," ujarnya.

Ujar Fernandez lagi, walaupun ada yang mengkritik artisan aising Walmart, baginya kerja menghias kek bukanlah mudah kerana memerlukan kemahiran tinggi.

Menyalurkan krim mentega melalui beg paiping dari pelbagai muncung berbeza untuk menghasilkan corak diingini bukanlah semudah melukis atau mewarna.

“Ada banyak aspek yang perlu dititikberatkan supaya krim dapat keluar dengan betul — dari segi ketebalan, tekstur, semuanya kena tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Tiffany Witzke, yang menjadi penghias kek di Walmart sejak Julai 2016 dan bekerja di cawangan Springfield, Missouri, mempunyai lebih 912,000 pengikut di TikTok.

"Pekerjaan ini menarik minat individu yang mahir serta berbakat,” kata Witzke, sambil menambah bahawa pelanggan kini mahukan rekaan yang lebih kompleks.

“Ketika saya mula-mula kerja, hiasan kek biasanya melibatkan border cream dan tulisan tapi sekarang pelanggan mahu hiasan yang lebih rumit," katanya.

Kek di The Sleepy Baker lebih mahal berbanding Walmart kerana menggunakan bahan premium dan dibuat mengikut tempahan pelanggan. — The Sleepy Baker

Sementara itu, Liz Berman, pemilik The Sleepy Baker di Natick, Massachusetts berkata, dia tidak risau kehilangan pelanggan kepada Walmart kerana perniagaannya menggunakan bahan-bahan premium.

“Ia adalah model perniagaan yang sangat berbeza. Apa yang saya lakukan adalah berdasarkan tempahan khas," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kanan Runcit di firma penyelidikan pasaran Circana, Marshal Cohen berkata, perniagaan menghias kek memberi margin keuntungan yang lebih tinggi kepada Walmart berbanding beberapa bahagian lain seperti barangan runcit dan elektronik.

Menurutnya, apa yang ditawarkan Walmart menarik minat pengguna yang mencari kemewahan pada harga mampu milik.

“Kami melalui satu tempoh yang mana pengguna rasa berpuas hati dan berpendapat apa yang mereka beli ini sudah cukup baik dan sepadan dengan harganya," kata Cohen.

Bagi seorang pelanggan, George Arango, 34, dia berpuas hati dengan dua biji kek yang dibelinya di Walmart.

"Satu kek untuk meraikan persaraan rakan sekerja manakala sebiji lagi buat rakan yang dapat kerja baharu.

"Selepas membuat perbandingan harga di beberapa laman web bakeri, saya memutuskan untuk membeli di Walmart.

“Harganya memang terbaik. Saya dapat dua biji kek pada harga AS$40 (RM168.96),” ujarnya. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel danTelegram