
TULAR sebuah kes meruntun hati pada Khamis apabila dua kanak-kanak ditemukan di tepi jalan dalam sebuah kejadian sekitar Garden Avenue, Seremban 2, Negeri Sembilan.
Perkara tersebut dikongsikan beberapa pengguna media sosial, termasuk di laman Facebook memaparkan mereka yang difahamkan pasangan adik-beradik duduk di bahu jalan.
Dalam video pendek tersebut, seorang daripada kanak-kanak itu sedang menggendong adiknya dengan kelihatan juga sebotol susu dibawa seperti mana dinyatakan dalam kapsyen video tersebut.
BACA LAGI: Malu kena kecam sebab lepas tanggungjawab, 2 anak perempuan ambil semula ibu di rumah kebajikan
BACA LAGI: Panggil puan salah, kakak pun salah, peniaga warung dilabel tiada adab
Kedua-dua kanak-kanak terbabit dilaporkan ditinggalkan di tepi jalan.
Namun berdasarkan komen ditinggalkan Shahrul Ahmad, kes berkenaan berlaku selepas pasangan adik-beradik berkenaan keluar dari rumah mereka tanpa pengetahuan penjaga mereka.
"Perkembangan terbaru, mereka bukanlah dibuang. Kakaknya bawa adik keluar ketika bapanya sedang tidur," tulisnya sambil menyertakan sekeping gambar ketiga-tiga mereka berada di balai polis.
Majoriti juga sudah menghubungi IPD Seremban 2 berhubung kes tersebut, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan dengan kes masih berada dalam siasatan.
Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah tanpa disedari ibu bapa.
"Orang awam memaklumkan penemuan dua kanak-kanak itu, lalu polis segera ke tempat kejadian dan membawa kedua-dua mereka ke Balai Polis Seremban 2 bagi tujuan perlindungan serta pengesahan identiti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Media pada Khamis melaporkan dua kanak-kanak ditemui orang awam di tepi jalan dan video kejadian itu tular di media sosial mendakwa mereka ditinggalkan ibu bapa.
Mohamad Hatta berkata, pemeriksaan fizikal polis terhadap kanak-kanak berkenaan menunjukkan tiada sebarang kecederaan atau tanda mencurigakan.
"Kami berjaya mengesan ibu bapa kanak-kanak terbabit iaitu warga Myanmar. Hasil siasatan pihak polis, kanak-kanak ini dipercayai keluar rumah sendiri ketika bapanya sedang tidur dan ibunya pula bekerja. Kanak-kanak itu sudah diserahkan semula kepada ibu bapanya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram