Malu kena kecam sebab lepas tanggungjawab, 2 anak perempuan ambil semula ibu di rumah kebajikan


  • Bonda
  • Ahad, 29 Jun 2025

Dua beradik mengambil semula ibu mereka di rumah orang kebajikan selepas malu dikecam warga maya.

TINDAKAN dua beradik perempuan yang menyerahkan ibu kandung mereka ke rumah jagaan warga emas akhirnya memakan diri apabila kejadian itu tular sehingga mengundang kecaman hebat daripada warga maya. 

Akibat kritikan yang berterusan di media sosial, kedua-dua anak perempuan yang dikenali sebagai SR dan F akhirnya kembali ke Rumah Warga Emas Griya Lansia Husnul Khatimah, Jawa Timur, Indonesia pada Ahad untuk menjemput semula ibu mereka, Nasikah.

Dalam kepingan gambar yang tular, kelihatan kedua-duanya menundukkan kepala dalam keadaan malu ketika berdiri di belakang kerusi roda yang dinaiki ibu mereka. 

BACA LAGI: Boleh ingat hampir setiap detik sejak lahir, 2 wanita dedah realiti hidup dengan kondisi memori luar biasa

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami di sini untuk pemandangan, so worth it', Juliana Marins sempat rakam vlog sebelum terjatuh dalam gaung Gunung Rinjani

Ibu mereka yang berusia 74 pula hanya berdiam sambil memeluk erat barangan peribadinya.

Pada Sabtu, jadi sorotan ramai mengenai tindakan mereka yang menyerahkan ibu sendiri ke rumah jagaan orang tua.

Video berkenaan memaparkan SR dan F mengiringi Nasikah ke rumah jagaan dan menandatangani dokumen pelepasan tanggungjawab.

Lebih mengejutkan, mereka turut bersetuju agar pihak rumah jagaan tidak perlu memaklumkan sekiranya ibu mereka meninggal dunia.

"Kalau sudah diserahkan, tiada lawatan, tiada berita. Kalau meninggal dunia, kami pun tidak akan maklumkan," kata penjaga rumah jagaan yang disambut anggukan bersetuju oleh dua beradik tersebut.

Walaupun SR dan F sudah mengambil semula ibu mereka, ramai warga maya bimbang jika tindakan itu hanya bersifat sementara.

"Tiada jaminan ibu ini akan dijaga dengan baik. Jangan sampai dia diambil hanya kerana takut dikritik," kata pengguna Firdaputri.

"Anak seperti ini hanya kasihan pada diri sendiri, bukan pada ibu yang melahirkan," kata Abiyyu.

"Tak sanggup jaga ibu, tapi sempat berhias dan aktif di media sosial. Sedih," tulis Salwaid. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram