[VIDEO] Nahas Senawang: Pemandu Proton Satria direman, negatif dadah — Polis


  • Kes
  • Ahad, 06 Jul 2025

Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria yang dipandu seorang lelaki Melayu berumur 19 tahun berkenaan hilang kawalan.

TINDAKAN seorang pemandu yang dipercayai memandu secara melulu di Jalan Persiaran 1, Senawang, Negeri Sembilan pada pagi Ahad telah mencetuskan kemarahan warga maya selepas rakaman insiden tersebut tular di media sosial.

Video yang dimuat naik oleh laman Negeri Sembilan Kini di Facebook memaparkan sebuah kereta jenis Proton Satria dipandu dengan laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima individu.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila pemanduan berbahaya berkenaan boleh menyebabkan kemalangan serius kepada pengguna jalan raya lain yang mematuhi peraturan.

BACA LAGI: [VIDEO] Feri karam Bali: Famili Fauzey Awang tak putus harapan, tetap nantikan kepulangan bapa saudara

BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN

“Jalan raya bukan tempat nak tunjuk siapa hebat. Silap lokasi kau pilih ni, Jang oi! Pemanduan kau mengundang bahaya kepada orang lain. Silap hari bulan, melayang nyawa orang tak bersalah,” tulis seorang pengguna media sosial yang turut berkongsi rakaman kejadian.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria yang dipandu seorang lelaki Melayu berumur 19 tahun berkenaan hilang kawalan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Senawang menuju ke Ampangan.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya dipercayai membrek secara mengejut, menyebabkan pemandu Proton Satria cuba mengelak ke kanan lalu melanggar tiang lampu dan sebatang pokok di pembahagi jalan.

"Kenderaan tersebut kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima individu termasuk pemandu.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Perodua Axia cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

"Penumpang lain yang mengalami kecederaan ringan pula menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, pemandu Proton Satria terbabit telah hadir membuat laporan polis sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemandu kereta Proton Satria telah ditangkap dan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk mendapatkan perintah reman.

"Mahkamah membenarkan suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini. Ujian saringan air kencing turut dijalankan dan keputusan menunjukkan suspek negatif dadah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram