
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan bahawa bekalan ternakan sempena Aidiladha adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa.
Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), jumlah stok lembu dan kerbau tempatan sehingga bulan Mac adalah sebanyak 35,381 ekor.
Manakala, jumlah yang diimport adalah sebanyak 3,223 ekor, menjadikan jumlah keseluruhan ternakan untuk ibadah korban sebanyak 38,804 ekor.
BACA LAGI: Koperal polis parah kena langgar lari di Seremban
BACA LAGI: Pilih kekal dalam dunia bola sepak, Nurri akui gembira di atas padang
Bekalan ternakan korban mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. — Facebook/KPKM
“Bagi kambing dan biri-biri tempatan dan import dalam tempoh yang sama, jumlahnya adalah sebanyak 30,167 ekor untuk tujuan korban.
“Berdasarkan anggaran keperluan korban di masjid, surau dan rumah penyembelihan, iaitu sekitar 34,451 ekor lembu dan kerbau serta 22,453 ekor kambing dan biri-biri, jumlah bekalan sedia ada adalah mencukupi bagi ibadah korban tahun 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagi memastikan proses penyembelihan berjalan lancar dan mengikut piawaian kesihatan serta syariah, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di Semenanjung Malaysia bersedia untuk beroperasi.
Selain itu, sebanyak 40 rumah sembelih swasta yang berlesen turut bersedia memberikan perkhidmatan penyembelihan.
KPKM turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penyembelihan di lokasi selain rumah sembelih seperti masjid, sekolah, kawasan perumahan atau tempat awam memerlukan permit khas.
Permohonan permit ini hendaklah disertakan dengan dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.
“Orang ramai digalakkan untuk merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS sebagai rujukan utama,” tambah kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram