2,900 penunggang motosikal remaja bawah umur maut kemalangan tempoh 5 tahun, tiba masa ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang?


  • Bonda
  • Isnin, 23 Jun 2025

Kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dalam kalangan remaja mencatatkan 2,900 kes dalam tempoh lima tahun. — Gambar hiasan

AMARAN demi amaran tidak lagi berkesan apabila melibatkan isu remaja bawah umur menunggang motosikal. 

Dalam tempoh lima tahun, seramai 2,900 remaja bawah umur maut akibat menunggang motosikal.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), penguatkuasaan yang lemah dan sikap sambil lewa ibu bapa menjadi punca utama masalah terbabit terus berlarutan.

BACA LAGI: [VIDEO] Baru 2 tahun sudah pandai memasak dan menjahit, kanak-kanak di sekolah tadika China raih pujian ramai

BACA LAGI: [VIDEO] Cinta tak pernah luntur, irama piano jadi saksi kasih sejati pasangan usia 80-an di Sunway Sanctuary

Dr. Farah Nini (kiri) dan Ragunath Kesavan. — Suhakam

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk memastikan ibu bapa benar-benar bertanggungjawab, terutama di kawasan luar bandar di mana menaiki motosikal ke sekolah dianggap satu keperluan kerana tiada kemudahan pengangkutan awam dan tambang terlalu mahal.

Beliau merujuk kepada dapatan daripada projek perintis Diversion yang dijalankan kerajaan di Port Dickson, Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor antara tahun 2019 sehingga 2022.

“Saya buat kajian pelaksanaan dan kajian penilaian projek itu. Pihak polis dari bahagian trafik dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) sendiri akui bahawa ramai ibu bapa tidak ambil berat soal keselamatan anak,” katanya.

Isu ini kembali hangat susulan kemalangan tragis di Johor pada Jumaat lalu, apabila seorang penunggang motosikal berusia 14 tahun terbabit dalam nahas yang menyebabkan rakannya maut selepas tercampak ke bawah lori.

Dr. Farah Nini menambah, walaupun menggubal undang-undang adalah mudah, namun pelaksanaannya sangat mencabar. Contohnya di Shah Alam, kos pengangkutan boleh mencecah RM200 sebulan untuk perjalanan singkat yang mana ia mungkin menjadi beban buat segelintir keluarga.

Di Malaysia, umur minimum untuk mendapatkan lesen motosikal ialah 16 tahun, namun ramai yang menunggang tanpa lesen.

“Kematian 2,900 remaja dalam lima tahun adalah angka yang sangat membimbangkan,” katanya, sambil mencadangkan agar undang-undang dipinda bagi mewajibkan akauntabiliti bukan hanya kepada anak-anak, tetapi juga ibu bapa.

Pesuruhjaya Suhakam, Ragunath Kesavan pula berkata, penguatkuasaan terhadap Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih longgar, terutamanya membabitkan penunggang tanpa lesen, pelumba haram (Mat Rempit) dan basikal lajak.

Teenager riding motorcycle. Photo for the story 13,000 undergae motorcyclists killed over years since 2013.. —AZHAR MAHFOF/The Star

Ibu bapa bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan anak termasuk memastikan kunci motosikal tidak mudah dicapai.  Gambar hiasan

Beliau berkata, hukuman boleh diperketatkan supaya ibu bapa lebih bertanggungjawab. Malah, menurutnya, kurangnya kesedaran dan pendidikan menjadi punca utama kenapa ramai masih melanggar undang-undang.

Mengulas sama ada ibu bapa boleh didakwa atas kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Ragunath percaya undang-undang sedia ada sudah memadai, tetapi perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas.

Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr. Raj Abdul Karim juga bersetuju bahawa sudah tiba masanya ibu bapa dikenakan tindakan jika membenarkan anak mereka menunggang motosikal secara haram.

Katanya, ibu bapa bertanggungjawab penuh dalam menjaga keselamatan anak, termasuk memastikan kunci motosikal tidak mudah dicapai dan melarang mereka menunggang ke tempat berdekatan sekalipun.

“Ada sebab kenapa kanak-kanak tidak dibenarkan menunggang motosikal. Refleks mereka belum cukup matang dan mereka tak mampu bertindak balas dalam situasi bahaya,” katanya.

Dr. Raj juga menyeru supaya pihak sekolah lebih proaktif dengan memeriksa pelajar yang datang menaiki motosikal dan memberi pendidikan keselamatan jalan raya. 

Antara cadangannya termasuk sistem ‘abang angkat’ untuk membimbing pelajar berisiko serta hukuman khidmat masyarakat bagi pelajar yang melanggar undang-undang.

Akhir tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan kementeriannya akan mengkaji semula kadar denda terhadap pemandu bawah umur seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. — The Star/FAZLEENA AZIZ dan GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram