KL bandar ke-12 terbaik dunia untuk pelajar 2026 — QS


  • Massa
  • Selasa, 15 Jul 2025

Kuala Lumpur mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga untuk menduduki tempat ke-12 dalam QS Best Student Cities Rankings 2026. — Gambar hiasan

IBU negara Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga untuk menduduki tempat ke-12 dalam QS Best Student Cities Rankings 2026, sekali gus buat pertama kalinya berjaya menembusi kelompok 15 teratas bandar pelajar terbaik dunia.

Kuala Lumpur turut berada di kedudukan keempat terbaik di Asia, hanya di belakang Seoul, Tokyo dan Singapura dalam senarai yang diterbitkan oleh firma analisis pendidikan tinggi global, Quacquarelli Symonds (QS), pada Selasa.

Menurut laporan QS, Kuala Lumpur mencatat peningkatan dalam empat daripada enam metrik utama yang dinilai, dengan prestasi cemerlang dalam kategori Aktiviti Majikan, selain lonjakan besar dalam komposisi pelajar (Student Mix) dan tahap keinginan pelajar antarabangsa (Desirability).

BACA LAGI: TERKINI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 17 tahun maut dihempap pokok ketika memancing di Ayer Baloi

Sejak mula tersenarai pada 2016 di tangga ke-53, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan berterusan saban tahun kecuali sedikit penurunan pada 2022.

Bagaimanapun, Shah Alam mencatat penurunan ketara sebanyak 21 anak tangga ke kedudukan ke-144 susulan kemerosotan dalam lima daripada enam indikator yang digunakan QS.

Prestasi kukuh universiti dan peluang pekerjaan

QS turut mendedahkan bahawa Kuala Lumpur kini berada di tempat ke-10 dunia dan keenam di Asia dalam indikator kedudukan universiti berdasarkan prestasi institusi pengajian tinggi tempatan dalam QS World University Rankings.

Dalam kategori Majikan, ibu kota itu muncul ke-15 terbaik dunia dan keempat di Asia, hasil maklum balas lebih 82,000 majikan antarabangsa serta data Bank Dunia yang menilai peluang pekerjaan golongan muda.

Kuala Lumpur turut menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 25 anak tangga dalam kategori Student Mix, berkongsi kedudukan ke-47 dunia bersama Hong Kong indikator yang mengukur kepelbagaian dan jumlah populasi pelajar.

Bagi kategori Desirability, yang menilai persepsi pelajar terhadap sesebuah bandar dari aspek keselamatan, pencemaran, budaya dan lain-lain, Kuala Lumpur naik lapan anak tangga ke kedudukan ke-81, menjadikannya indikator paling rendah bagi bandar ini.

Kuala Lumpur turut menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 25 anak tangga dalam kategori Student Mix. —Gambar Hiasan

Dalam kategori Student Voice berdasarkan lebih 49,000 maklum balas bekas pelajar mengenai keterangkuman, kemesraan, pengangkutan dan budaya Kuala Lumpur berada di tangga ke-69, turun dua anak tangga berbanding tahun lalu.

Namun, dalam aspek kemampuan sara hidup, Kuala Lumpur menunjukkan sedikit kemerosotan apabila jatuh sembilan anak tangga ke kedudukan ke-33 dunia, walaupun Asia terus mendominasi dengan 25 daripada 30 bandar paling mampu milik untuk pelajar berada di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif QS, Jessica Turner, berkata peningkatan konsisten Kuala Lumpur sejak 2016 membuktikan komitmen bandar itu dalam memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pengajian tinggi bertaraf dunia.

Penerbitan edisi terbaru yang menilai 150 bandar itu turut menyaksikan perubahan besar apabila Seoul buat pertama kali muncul sebagai bandar pelajar terbaik dunia, menyingkirkan London yang menduduki takhta selama enam tahun berturut-turut ke tempat ketiga. Tokyo mengekalkan kedudukan kedua.

Bandar lain dalam 10 teratas dunia termasuk Munich (ke-4), Melbourne (5), Sydney (6), Berlin dan Paris (ke-7 bersama), Zurich (9) dan Vienna (10).

QS turut memaklumkan bahawa sebanyak 39 bandar dari rantau Asia-Pasifik (tidak termasuk Australia dan New Zealand) tersenarai tahun ini, termasuk tiga penyertaan baharu seperti Kyoto dan Osaka yang sebelum ini dikira secara kolektif.

Daripada 34 bandar Asia yang tersenarai tahun lalu, 26 mencatat peningkatan, tujuh menurun dan hanya satu kekal di tempat yang sama, menunjukkan kebangkitan ketara rantau ini dalam landskap pendidikan tinggi global.

Antara pencapaian tertinggi dalam sejarah penyenaraian termasuk Seoul (1), Kuala Lumpur (12), Beijing (13) dan Taipei (14).

QS menetapkan syarat bahawa sesebuah bandar hanya layak dinilai jika memiliki populasi melebihi 250,000 orang dan sekurang-kurangnya dua universiti yang tersenarai dalam QS World University Rankings.

Penilaian itu turut mengambil kira lebih 100,000 maklum balas pelajar merangkumi pelajar berpotensi dan bekas pelajar menjadikan ia satu penunjuk penting dalam memahami persepsi dan realiti pengalaman pelajar di seluruh dunia. — The Star/ JAAYNE JEEVITA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram