
ENCORP Berhad (ENCORP) buat julung-julung kalinya menganjurkan Ceramah Kesedaran ESG dan Kelestarian di Strand Mall iaitu pusat beli-belah milik ENCORP sendiri, pada Isnin.
Penganjuran itu antara lain dalam usaha untuk terus memperkukuhkan tumpuan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan memperluas kesedaran terhadap kelestarian di semua peringkat operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata, pengintegrasikan ESG ke dalam perniagaan bukan sekadar soal pematuhan, tetapi soal membentuk perubahan minda.
BACA LAGI: Impian mahu jadi jurutera, anak yatim dari Kedah perlu RM50,000 rawat penyakit jantung jarang jumpa
Pelbagai pihak hadir menyertai Ceramah Kesedaran ESG dan Kelestarian anjuran ENCORP dan USM yang berlangsung di Strand Mall, pada Isnin.
“Dengan melibatkan kakitangan dan pihak berkepentingan luar dalam dialog yang bermakna serta memanfaatkan kepakaran akademik dari USM, kami sedang membina asas bagi sebuah organisasi yang lebih berpengetahuan, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ENCORP, Kamarul Azman Kamarozaman @ Amir dan Ketua Bahagian Risiko, Tadbir Urus & Integriti ENCORP, Arman Idzmy Omar.
Program itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan ENCORP untuk mendidik, memberi inspirasi dan menggerakkan semua pihak berkepentingan daripada staf hinggalah pekerja tapak agar mengamalkan amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab.
Ia juga merupakan antara inisiatif terawal dalam industri yang mengintegrasikan rakan luar seperti kontraktor, perunding dan penyewa pusat beli-belah ke dalam rangka kerja pembelajaran ESG.
Bertemakan ‘Menggalakkan Kelestarian melalui Kesedaran’, ceramah itu menghimpunkan kakitangan, perunding, kontraktor, pembekal dan penyewa premis.
Usaha itu mencerminkan usaha proaktif ENCORP dalam memperluas pendidikan ESG merentasi keseluruhan ekosistem operasinya.
Sesi berkenaan diadakan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan menampilkan penceramah daripada Pusat Pengajian Kelestarian Global (CGSS). Dr. Suzyrman Sibly dan Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei.
Mereka masing-masing menyampaikan ceramah bertajuk ‘Membina Masa Depan yang Lebih Baik: Pengenalan kepada Kelestarian dan ESG’ dan ‘Bersama Demi Hari Esok: Meneroka Kelestarian melalui Kerjasama dan Inovasi’.
Pada masa sama, Profesor Madya Kehormat Dr. Mohd Sayuti Hassan dari CGSS dan Profesor Madya Haslindar Ibrahim dari Pusat Pengajian Pengurusan, USM bertindak sebagai moderator bagi sesi tersebut.
Dengan ESG semakin menjadi keutamaan dalam matlamat pembangunan negara dan penanda aras pelaburan global, pendekatan ENCORP menandakan satu standard baharu dalam pembangunan yang bertanggungjawab, didorong oleh pengetahuan, kerjasama dan akauntabiliti bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram