Bukan setakat wanita Kedah, helah licik lancar 3 modus operandi bolot harta bekas suami terbongkar


  • Cinta
  • Selasa, 15 Jul 2025

Modus operandi golongan tersebut adalah meminta diceraikan selepas mengaut keuntungan.

ISU rumahtangga semakin kerap disaksikan di media sosial hari ini apabila terlalu banyak kes penceraian kedengaran sehingga mencalarkan institusi perkahwinan.

Bagaimanapun, di sebalik masalah acap kali dikupas itu, ada pula taktik licik digunakan dalam kalangan wanita yang tidak lagi malu untuk merobohkan mahligai sudah dibina.

Perkara itu dikongsikan pengguna Facebook, Ahmad Burhanuddin yang menyatakan kes sedemikian kerap kali berlaku di Kedah apabila terdapat wanita berkahwin hanya untuk mengaut keuntungan.

BACA LAGI: Bila waktu sesuai kenalkan anak dengan pasangan baharu selepas bercerai? Ini perkongsian berdasarkan pengalaman nyata

BACA LAGI: Anak bukan rebutan emosi, teliti undang-undang sebelum ambil hak penjagaan lepas bercerai

"Aku perasan ada perempuan yang berada di Kedah ini, modus operandinya adalah bernikah, mendapatkan hantaran dan cerai. Setahun dapat seorang lelaki, cukuplah," tulisnya.

Perbuatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana niat sebenar di sebalik perkahwinan adalah untuk mewujudkan instituasi kekeluargaan yang harmoni dan bertolak ansur.

Namun, sekiranya terdapat segelintir pihak berbuat demikian, tindakan tersebut sudah menyimpang jauh daripada fungsi sebenar perkahwinan berdasarkan garis panduan syarak.

Lebih menyedihkan lagi, modus operandi diceritakan pengguna berkenaan bukan hanya berlaku di Kedah kerana kelakuan sedemikian juga pernah disaksikan di negeri lain.

Wanita yang melakukan taktik licik itu akan meminta diceraikan selepas mengkikis harta suami. Gambar hiasan

"Rasanya pernah tular dahulu, tetapi bukan di Kedah sahaja. Mereka siap ada 'silent group' sendiri untuk kongsi dan minta idea. Selepas sudah kikis harta dan dapatkan sedikit simpanan, mereka akan minta diceraikan.

"Selepas berpisah, taktik licik diteruskan dengan mahkamah untuk tuntut harta sepencarian. Padahal, sebelum itu, mereka hanya duduk di rumah dan berjoli sahaja. Semoga ALLAH jauhkan dari ujian sebegini," kata Said Mohamad Shah.

"Ini biasanya dilakukan mereka yang berasal dari Thailand. Memeluk Islam kerana dapat banyak bantuan sebagai mualaf baharu. Kadang-kadang, ada yang dapat elaun bulanan.

"Suami sudah ada tiga orang dalam masa tiga tahun. Tak solat, tak puasa pun dan memeluk Islam kerana mahu dapatkan duit sahaja. Kisah benar ini diceritakannya kepada kawan aku, wanita itu sekarang bekerja sebagai tukang urut di Kuantan," kata Hasriq bin Nasir. 

Sekiranya apa dikongsikan pengguna media sosial itu benar-benar berlaku, orang ramai perlu lebih waspada untuk mengelak daripada terjerumus daripada situasi sedemikian yang pastinya akan meruntun jiwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram