Bila waktu sesuai kenalkan anak dengan pasangan baharu selepas bercerai? Ini perkongsian berdasarkan pengalaman nyata


  • Cinta
  • Selasa, 08 Jul 2025

Proses memperkenalkan anak dengan pasangan baharu pastinya mengambil sedikit masa. — Gambar Hiasan

PROSES memperkenalkan anak kepada pasangan baharu selepas perceraian bukanlah sesuatu hal yang mudah. 

Ia memerlukan pertimbangan emosi, kesediaan anak serta hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan pasangan baharu. 

Topik itu menjadi perbualan hangat di media sosial selepas seorang pengguna, Rezx.sh meminta pandangan daripada mereka yang pernah melalui situasi tersebut.

“Berapa lama selepas kenal baru korang perkenalkan pasangan pada anak? Bekas pasangan okay tak? Apa patut dan tak patut buat? Saya rancang nak ajak outing bersama tetapi takut terlalu awal,” tulisnya dalam satu hantaran yang mencetuskan pelbagai reaksi.

BACA LAGI: 'Awak ibu hebat', suami puji isteri cekal asuh 9 anak susuan, reda serah bayi kepada keluarga kandung

BACA LAGI: Rasuah bukan sekadar salah laku kewangan, tetapi ancaman senyap terhadap institusi keluarga

Seorang pengguna, Abi Darda berkongsi pendekatan yang lebih terbuka sejak awal perkenalan. 

Katanya, hubungan dia dan pasangan dibina atas asas yang jelas iaitu saling menjadi figura ibu dan bapa kepada anak masing-masing.

“Dari awal lagi kami tahu hala tuju hubungan ini. Kalau tak menjadi, kami tak teruskan. Kami bawa anak-anak keluar ke taman permainan indoor untuk mereka bergaul dan lihat keserasian. Alhamdulillah, mereka sangat cepat mesra,” jelasnya.

Berbeza pula dengan Cik_irah88 yang memilih untuk menunggu masa yang sesuai iaitu sehingga tempoh perkenalan dengan pasangan baru mencecah tiga tahun sebelum memilih memperkenalkan anak kepada pasangan. 

Katanya, keputusan itu dibuat demi menjaga emosi dan kestabilan anak.

“Saya nak pastikan mereka boleh serasi. Anak saya dan pasangan sama-sama lelaki, jadi saya nak lihat cara mereka berinteraksi. Yang penting, kenal pasangan dengan mendalam dulu dan jangan tergesa-gesa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa menikmati proses membina ikatan antara anak dan pasangan baharu tanpa meletakkan tekanan.

Sementara itu, Maweexxa pula berkongsi kisah unik apabila anak-anak diperkenalkan sejak temujanji pertama dan kedua dibuat. 

Menariknya, anak-anak mereka terus serasi dan menjadi seperti adik-beradik.

“Anak suami saya hadir pada first date, anak-anak saya pula saya perkenalkan pada second date. Kebetulan saya ambil mereka dari rumah bekas suami, jadi dia tahu juga. Dia diam saja, mungkin terkejut,” katanya.

Pastikan anak setuju untuk bertemu dengan pasangan baharu.  — Gambar Hiasan

Beliau berpendapat amat penting untuk bertanya kepada anak dan pasangan sama ada mereka benar-benar bersedia sebelum pertemuan pertama diatur.

Seorang pengguna lain, Tambahilmu9 memberi peringatan tegas berdasarkan pengalaman keluarga terdekat. 

Katanya, ada pasangan yang tampak baik sebelum berkahwin, tetapi berubah selepas sah menjadi suami atau isteri.

“Ada yang mesra dengan anak-anak sebelum kahwin, tetapi selepas itu, layanan berubah 180 darjah. Anak tiri dipinggirkan, malah keluarga pasangan langsung tidak mengiktiraf cucu tiri,” katanya.

Beliau menegaskan untuk mencari pasangan hidup yang benar-benar sesuai untuk diri sendiri dan juga anak-anak. 

Bagi Lilkhalila pula, situasinya sedikit mencabar kerana bekas suaminya dan juga bekas isteri kepada pasangan baharunya agak toksik. 

Katanya, dia hanya dapat memperkenalkan anaknya selepas bertunang, manakala anak-anak suaminya hanya ditemui selepas bernikah kerana halangan daripada bekas isteri suaminya.

“Sekarang semuanya tinggal serumah dan Alhamdulillah, semua anak-anak saya layan sama rata. Saya percaya, kalau ada isu, kita kena dengar kedua-dua belah pihak dan jangan bias,” katanya.

Tambahnya, penting untuk bersikap adil dan tidak mewujudkan jurang antara anak kandung dan anak tiri. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram