[VIDEO] 'Saya tak cari yang sempurna tetapi...' Siti Nordiana kongsi impian inginkan peneman di hujung usia


  • Cinta
  • Rabu, 09 Jul 2025

Siti Nordiana mengakui dirinya kini terbuka untuk menerima kehadiran insan istimewa dalam hidup.

DI sebalik senyum tawa dan sikapnya yang sentiasa positif, hati kecil milik penyanyi Siti Nordiana masih menyimpan ruang untuk menerima cinta baharu.

Selepas lebih satu dekad bergelar ibu tunggal, pelantun lagu Angkara itu mengakui dirinya kini terbuka untuk menerima kehadiran insan istimewa dalam hidup.

“Saya sebenarnya sentiasa terbuka. Tapi buat masa sekarang ni, belum lagi bertemu dengan seseorang yang benar-benar serius mahu settle down,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Sekolah kebangsaan vs sekolah swasta dan antarabangsa: Mana lebih baik untuk anak anda?

BACA LAGI: Bila waktu sesuai kenalkan anak dengan pasangan baharu selepas bercerai? Ini perkongsian berdasarkan pengalaman nyata

Siti Nordiana akrab dengan anak lelakinya, Ryan. 

Tambahnya, dia tidak pernah meletakkan syarat yang tinggi dalam memilih pasangan hidup. 

Cukuplah jika insan itu mampu menjadi teman yang saling melengkapi dan membimbing antara satu sama lain.

“Tak ada kriteria yang terlalu banyak sebab kita sendiri pun bukan sempurna. Tapi kalau boleh biarlah dia seorang yang boleh bertolak ansur, boleh jadi kawan dan boleh jalan seiring dengan kita sampai ke jannah, insya-ALLAH," katanya. 

Dalam pada itu, Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana turut berkongsi kisahnya dalam membesarkan anak tunggal, Muhammad Rayyan Nakhaie, yang kini sudah pun berusia 17 tahun.

Ramai yang mengagumi hubungan rapat antara Nana dan anak lelakinya yang sering kelihatan seperti kawan rapat di media sosial.

“Kami memang rapat, tapi masih ada batas ibu dan anak. Ryan hormat saya sebagai ibu dia. Itu yang paling penting," katanya. 

Menjadi ibu kepada remaja bukanlah tugas mudah. Nana mengakui, pendekatannya banyak bergantung kepada komunikasi dan cuba memahami emosi remaja masa kini.

“Kalau nampak dia tengah stres atau diam, Nana akan ajak dia keluar berjalan. Dengar dulu apa dia nak luah, baru kita beri nasihat perlahan-lahan. Anak remaja ni, dia perlukan ruang tetapi dalam masa yang sama dia juga nak didengar," katanya. 

Membesarkan anak sendirian bukanlah perjalanan yang mudah.

Nana mengakui dia juga pernah melalui saat-saat sukar, apatah lagi selepas kehilangan bekas suaminya. 

Allahyarham Faizal Yusof meninggal dunia sewaktu Nana berusia 25 tahun dan Ryan baru sahaja berumur 2 tahun. 

“Sebagai ibu tunggal, Nana tak nafikan ada masa kita kuat, ada masa kita rasa down. Tapi itulah… jangan putus asa. Kita kena teruskan, walau perlahan," katanya. 

Baginya, kunci utama untuk kekal tenang dan bahagia ialah bersyukur.

“Kadang kita rasa kita kurang di satu bahagian, tapi sebenarnya ALLAH lebihkan kita di bahagian lain. Bila kita mula bersyukur, kita akan nampak semuanya dari sisi yang lebih positif," katanya.

Bercakap soal perkembangan semasa, Nana kini kembali bergandingan dengan penyanyi Tomok menerusi single duet terbaharu berjudul Gelisah Jiwa Meronta Asmara.

“Lagu ni mengisahkan tentang rindu… tentang sayang. Kalau ikutkan, ia macam kesinambungan daripada lagu-lagu duet kami sebelum ni," katanya.

Bagi Nana, karya intu cukup istimewa kerana ia membawa emosi yang sangat dekat di hati iaitu rindu terhadap seseorang yang pernah hadir dalam hidup.

“Kadang-kadang kita teringat kenangan lama. Lagu ni memang boleh kena dengan semua orang iaitu rindu pada orang tersayang, rindu pada sahabat atau sesiapa yang pernah singgah dalam hidup kita," katanya.

Lagu tersebut kini boleh didengarkan di semua platform digital seperti YouTube dan Spotify. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram