
KETIKA kota Kyiv di Ukraine diselubungi api dan gegaran letupan, Dr. Borys Todurov tetap nekad melaksanakan misinya menghantar jantung manusia merentasi bandar yang sedang diserang.
Walaupun dentuman bom dan deruan dron Rusia kedengaran di langit, Todurov tidak gentar. Sebaliknya, beliau bergegas dalam ambulans membawa organ penting itu untuk menyelamatkan seorang pesakit muda yang kritikal.
Pesakit berkenaan seorang kanak-kanak telah lama menghidap penyakit jantung kronik. Namun, keadaannya bertambah teruk awal minggu ini dan pemindahan jantung merupakan satu-satunya harapan.
BACA LAGI: Waspada taktik licik warga asing si tukang rumah 'segera', ugut pelanggan jika lapor polis
BACA LAGI: Rakyat Malaysia antara 3 terkorban tragedi feri karam di Bali, famili dijangka tiba Jumaat
Apabila jantung penderma, seorang kanak-kanak lain tersedia di bahagian bertentangan kota, Todurov tahu tiada masa untuk menunggu serangan berhenti.
Tanpa berlengah, beliau bergerak dari Hospital Kanak-Kanak Okhmatdyt di barat Kyiv menuju ke Institut Jantung di tebing timur Sungai Dnipro, meredah kira-kira 16 kilometer dalam situasi genting.
Ketika itu, Rusia sedang menggandakan serangan udara terhadap Ukraine, dengan lebih 400 dron dan 18 peluru berpandu termasuk lapan peluru berpandu balistik dan enam peluru berpandu jelajah dilancarkan ke atas beberapa kawasan termasuk Kyiv.
Walaupun tentera udara Ukraine berjaya menembak jatuh kebanyakan peluru berpandu dan dron, dua orang terkorban dan puluhan lagi cedera dalam serangan itu.
Pada malam serangan, Todurov, yang juga Pengarah Institut Jantung, telah menjalani satu lagi pembedahan sebelum bergerak ke Hospital Okhmatdyt untuk mengambil organ penderma. Selepas mengeluarkan jantung, beliau sendiri mengiringi organ tersebut kembali ke institut.
Perjalanan menyeberangi Sungai Dnipro amat berisiko tinggi semasa serangan kerana jambatan adalah lokasi terbuka dan sistem pertahanan udara Ukraine biasanya mensasarkan dron serta peluru berpandu yang berada di atas sungai untuk mengurangkan risiko serpihan jatuh ke kawasan kediaman.
Sebuah rakaman video menunjukkan api besar menyala di tepi jalan semasa ambulans dipandu laju. Dalam suasana cemas itu, Todurov berkata dengan tenang, ‘kami sedang membawa jantung’.
Sebaik tiba di institut, walaupun serangan masih berlangsung, beliau terus masuk ke bilik pembedahan bersama pasukan perubatan untuk melaksanakan pemindahan jantung.
Dalam detik menyentuh hati yang sempat dirakam kamera dan dikongsi kepada CNN, jantung baharu itu mula berdegup di dalam dada pesakit hanya beberapa jam selepas dibawa melalui kawasan berbahaya.
“Jantung berfungsi, tekanan darah stabil. Kami berharap pesakit akan pulih dan menjalani kehidupan yang panjang dan bermakna,” ujar Todurov.
Pusat Penyelaras Pemindahan Ukraine mengesahkan bahawa penderma adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disahkan kematian otak selepas mengalami kecederaan serius.
Ibunya, seorang petugas kesihatan bersetuju untuk mendermakan organ anaknya. Sementara jantung dipindahkan ke pesakit utama di Institut Jantung, buah pinggang penderma dipindahkan ke seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Manakala, hatinya disalurkan kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, kedua-duanya dirawat di Hospital Okhmatdyt.
Menurut pusat itu, dua daripada tiga penerima berada dalam keadaan kritikal dan mungkin hanya mempunyai beberapa hari atau minggu untuk hidup tanpa pemindahan organ tersebut.
“Semoga penderma kecil itu bersemadi dengan tenang. Salam takziah kepada keluarganya dan penghargaan atas keputusan yang sungguh berat tetapi amat berharga ini,” kata kenyataan rasmi pusat berkenaan.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram