
PENIPUAN renovasi rumah kini memasuki fasa baharu apabila individu warga asing yang datang ke Malaysia dengan visa pelancong dipercayai terlibat dalam menawarkan perkhidmatan kontraktor dan tukang sambilan ‘segera’ sebelum menipu pelanggan dengan mengenakan caj tinggi bagi kerja tidak berkualiti.
Lebih membimbangkan, hasil kerja yang dijanjikan sebagai ‘tahan lama’ sebenarnya rosak hanya dalam beberapa hari walaupun pelanggan dikenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM11,000 bagi kerja kalis air dan pembaikan kebocoran.
Seorang chef, Kan Tuck Poh, 48, dari Iskandar Puteri, Johor menjadi antara mangsa terbaharu penipuan tersebut selepas menemui iklan perkhidmatan tersebut di media sosial. Kan yang bekerja di Singapura, tertarik dengan tawaran dan mengupah dua individu berkenaan untuk membaiki kebocoran di rumahnya.
BACA LAGI: Pernah dibuat Ubai musim lalu, tak mustahil rekrut curi tempat otai TFC
BACA LAGI: [VIDEO] Larian demi maruah bukan untuk menang, gelagat Guru Besar SK Gusi curi tumpuan
Penipuan renovasi kini semakin licik apabila warga asing didakwa masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong untuk menipu pelanggan yang ingin mengubah suai rumah mereka. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star
“Mereka tidak nyatakan harga sebelum mula kerja. Mereka hanya gunakan pelekat untuk tutup kebocoran,” katanya kepada The Star.
Namun, selepas selesai kerja, dua lelaki terbabit mengenakan bayaran RM6,900 kononnya termasuk jaminan selama enam tahun. Malangnya, pelekat tersebut hanya bertahan selama lima hari sebelum rosak semula dan Kan gagal menghubungi mereka selepas itu.
“Mereka beri pelbagai alasan. Mereka memandu kereta tempatan tetapi bercakap dengan loghat asing yang ketara. Bila ditanya, mereka mengatakan baru dua hari tiba di Malaysia dan datang sebagai pelancong,” katanya.
Setelah menyedari dirinya ditipu dan gagal mendapatkan sebarang penyelesaian, Kan membuat laporan polis. Katanya, dia telah membayar RM2,900 secara tunai, dan kemudiannya membuat dua transaksi, RM1,000 dan S$912 (RM3,029.73) ke akaun bank di Singapura milik dua warga asing.
Lebih mengejutkan, Kan turut mendakwa dia diugut oleh salah seorang penipu yang mengancam untuk membakar rumahnya jika laporan polis dibuat.
Siasatan mendapati laman Facebook penyedia perkhidmatan itu masih aktif, dengan hantaran terakhir bertarikh 25 Mei.
Mereka mendakwa menawarkan perkhidmatan kalis air profesional, lengkap dengan video pendek menunjukkan dua tukang membaiki bumbung dan bilik air, serta testimoni pelanggan palsu. Semua komunikasi hanya dijalankan menerusi WhatsApp.
Individu warga asing dipercayai menyalahgunakan visa pelancong untuk menipu pemilik rumah menerusi kerja baik pulih tidak berkualiti.— Gambar hiasan
Sementara itu, Timbalan Ketua MCA Petaling Jaya, Lim Han Boon turut mendedahkan kewujudan operasi renovasi besar-besaran yang menggunakan tenaga kerja asing tanpa dokumen di Jalan Alor.
Menurutnya, beliau sendiri melawat tapak tersebut dan mendapati kira-kira 50 warga asing sedang melakukan kerja pengubahsuaian melibatkan tiga tingkat bangunan.
“Mereka bercakap dengan loghat asing dan ada yang enggan menjawab soalan saya mengenai berapa lama mereka telah bekerja di sini,” katanya.
Lim percaya bahan binaan yang digunakan juga diimport terus dari luar negara dan berpendapat kontraktor terbabit cuba meminimumkan kos dengan tidak mengupah syarikat tempatan yang perlu menanggung kos seperti cukai, KWSP dan lain-lain perbelanjaan operasi.
“Meskipun perlu tanggung kos tiket kapal terbang, penginapan dan gaji, kos mengupah warga asing ini masih lebih murah berbanding pekerja tempatan,” katanya.
Beliau kini dalam usaha mengumpulkan bukti sebelum membuat laporan rasmi kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen.
Tahun lalu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperkenalkan templat perjanjian standard bagi kerja renovasi sebagai langkah menangani penipuan dalam sektor tersebut.
CIDB turut menasihatkan pemilik rumah agar peka terhadap harga bahan binaan semasa, kos buruh, serta peraturan pihak berkuasa tempatan sebelum menjalankan sebarang kerja renovasi. — The Star/KHOO GEK SAN DAN RAGANANTHINI VETHASALAM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram