Malaysia destinasi percutian pilihan pelancong sekitar Asean


  • Massa
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Pulau Pinang terus menjadi pilihan pelancong dari Thailand berikutan akses jalan raya yang baik serta sambungan internet yang mantap. — Gambar Hiasan

MALAYSIA terus unggul sebagai destinasi pelancongan paling popular dalam kalangan pelancong Asia Tenggara apabila mencatatkan ketibaan tertinggi dari negara-negara ASEAN pada tahun 2023.

Berdasarkan data ASEANstats, Malaysia menerima seramai 14.6 juta pelancong dari rantau ASEAN, mengatasi Thailand (9.8 juta) dan Singapura (5.2 juta).

Majoriti pelancong ASEAN ke Malaysia berasal dari Singapura (8.3 juta), diikuti Indonesia (3.1 juta) dan Thailand (1.55 juta).

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, trend positif itu dijangka terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, seiring dengan usaha kerajaan dan industri yang semakin agresif menarik pelancong serantau.

BACA LAGI : 'Upgrade' kebun jadi port pelancongan, ramai petani kini mampu dapat duit lebih

BACA LAGI : Malaysia akhirnya pintas Thailand destinasi pelancongan paling popular, Langkawi-George Town antara 5 lokasi tumpuan

"Malaysia menawarkan pelbagai tarikan seperti lokasi menyelam, percutian pulau yang mudah diakses serta budaya rakyat yang mesra dan bersifat terbuka.

"Selain itu, kos yang berpatutan menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong dari ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, industri pelancongan negara kini semakin berkembang dan bersedia menarik pelancong dari dalam dan luar rantau.

Menurut data Tourism Malaysia, trend peningkatan ketibaan pelancong ASEAN berterusan sehingga tahun 2025, dengan peningkatan 13 peratus pada tahun 2024 apabila jumlah pelancong mencecah 16.5 juta.

Bagi tempoh Januari hingga April 2025 pula, Malaysia merekodkan 5.2 juta ketibaan pelancong ASEAN, meningkat lima peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Malaysia menawarkan pelbagai tarikan seperti lokasi menyelam, percutian pulau yang mudah diakses serta budaya rakyat yang mesra dan bersifat terbuka. — Gambar Hiasan 

Wong berkata, pengusaha penginapan dan lokasi pelancongan tempatan antara pihak yang paling menerima manfaat daripada lonjakan ketibaan pelancong, khususnya daripada kalangan Free and Independent Travellers (FITs) pelancong yang mengurus perjalanan mereka sendiri tanpa bergantung kepada pakej pelancongan.

"Kebanyakan mereka datang dengan kenderaan sendiri, penerbangan jarak dekat atau menaiki kereta api.

"Walaupun mereka jarang menggunakan agensi pelancongan untuk tempahan, ramai yang mencari pengalaman khas sebaik tiba di Malaysia," ujarnya.

Katanya, industri kini mula beralih kepada penawaran produk pelancongan berasaskan pengalaman seperti lawatan separuh hari, program ke desa, serta lawatan budaya termasuk ke perkampungan Orang Asli.

"Inisiatif sebegini lebih menarik buat pelancong FIT dan pada masa sama mengagihkan limpahan ekonomi pelancongan ke kawasan luar bandar," katanya.

Dalam pada itu, Pulau Pinang terus menjadi pilihan pelancong dari Thailand berikutan akses jalan raya yang baik serta sambungan internet yang mantap.

Menurut data Tourism Malaysia, trend peningkatan ketibaan pelancong ASEAN berterusan sehingga tahun 2025.

Sementara itu, Johor mencatatkan kehadiran pelancong tinggi dari Singapura terutama pada hari bekerja, dengan ramai turut melanjutkan perjalanan ke Melaka, Kuala Lumpur hingga ke Ipoh.

"Bandar-bandar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menunjukkan minat berterusan daripada pelancong Singapura dan Thailand," katanya.

Wong turut memaklumkan bahawa pelancong Indonesia banyak mengunjungi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk tujuan rawatan kesihatan, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat pelancongan perubatan serantau.

Minat terhadap ekopelancongan juga kian meningkat, dengan taman negara dan lokasi semula jadi di Semenanjung serta Sabah semakin menjadi tumpuan.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), pelbagai usaha promosi dan kerjasama sedang giat dijalankan.

"MATTA merupakan ahli Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) yang turut disertai syarikat penerbangan, organisasi pelancongan kebangsaan serta persatuan hotel dan agensi pelancongan serantau," ujarnya.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan pelancongan dalam kalangan negara ASEAN dan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi utama.

Sebagai Pengerusi ASEAN semasa, Malaysia memainkan peranan aktif dalam mempromosikan pelancongan serantau, termasuk dengan membawa tema Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya bagi kempen Visit Malaysia 2026.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di Johor, yang dijangka melonjakkan sektor pelancongan rantau ini ke tahap lebih tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Singapura mencatatkan jumlah pelancong keluar tertinggi ke negara-negara ASEAN pada 2023 dengan 11.3 juta lawatan, diikuti rakyat Malaysia (8.3 juta) dan Indonesia (6.9 juta).

Negara-negara ASEAN lain turut menunjukkan pemulihan kukuh pasca pandemik, antaranya Kemboja yang mencatatkan 3.5 juta pelawat pada 2023 berbanding 2.2 juta pada 2019 sekali gus mengatasi tahap prapandemik.

Vietnam pula merekodkan 2.07 juta pelawat dari negara ASEAN, hampir menyamai angka sebelum penularan Covid-19. — The Star/ DIYANA PFORDTEN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram