
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius isu tular melibatkan sebuah program motivasi rumah tangga dikenali sebagai eHATI, yang didakwa mengandungi unsur menyimpang dan mempromosikan budaya songsang dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil.
"Usaha bersepadu ini adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri dalam menangkis sebarang gejala serta pengaruh budaya menyimpang daripada ajaran Islam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kerajaan Madani menerusi Jakim sentiasa komited dan tegas dalam menangani isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam, terutamanya yang menyentuh keharmonian institusi kekeluargaan, penjagaan akhlak, serta pemeliharaan nilai-nilai murni Islam.
Dalam pada itu, Hakimah menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar tidak mudah terpengaruh dengan fahaman serta gaya hidup bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.
"Orang ramai disaran agar terus bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat berkaitan isu seperti ini, demi menangani segala unsur bercanggah dengan syarak," jelasnya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran Facebook mendakwa program motivasi eHATI yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam, Selangor melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh penganjur tahun lalu.
Menurut hantaran tersebut, pengasas program terbabit dikatakan masuk ke dewan dengan berpakaian seksi, sebelum menanggalkan pakaian dalam dan menari bersama para peserta.
Lebih mengejutkan, peserta wanita yang hadir turut didakwa diminta meminum sejenis air tidak diketahui kandungannya yang kononnya memberi kesan perubahan emosi dan rasa ghairah.
Selain itu, program terbabit turut dikaitkan dengan amalan ‘mandi suci’ dan ‘rebirth’ yang didakwa sebagai simbolik kelahiran semula satu elemen ritual yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.
Mengulas lanjut, Jakim menegaskan sebarang bentuk pengajaran atau program yang bercanggah dengan prinsip Islam tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan diambil selepas siasatan selesai.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram