Jangan guna penyembur serangga hapus anai-anai, hanya burukkan lagi keadaan


  • Massa
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Disebabkan sifat anai-anai yang merosakkan secara senyap, ramai pemilik rumah bertindak pantas menyembur racun apabila ternampak kelibat serangga tersebut. — Gambar/Janaan Ai

TINDAKAN menyembur anai-anai menggunakan racun serangga secara sembarangan bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah boleh memburukkan lagi keadaan.

Anai-anai, atau turut dikenali sebagai semut putih, merupakan antara serangga perosak paling berbahaya kerana mampu merosakkan struktur rumah dari dalam tanpa disedari pemilik kediaman.

Disebabkan sifatnya yang merosakkan secara senyap, ramai pemilik rumah bertindak pantas menyembur racun apabila ternampak kelibat anai-anai. 

BACA LAGI : Dari Lembah Klang ke Borneo, kredibiliti, bintang 3 kelab jadi pencabar terkuat JDT musim depan

BACA LAGI : Buluh jadi penghadang jalan: Mudah cuma kurang praktikal — Pakar

Namun, pendekatan itu didapati tidak berkesan dan tidak digalakkan.

Bukan itu sahaja, pendekatan tersebut disifatkan sebagai 'menang pertempuran tetapi kalah peperangan' kerana walaupun anai-anai yang kelihatan dapat dibunuh, koloni utama yang menjadi punca serangan masih kekal aktif.

Koloni anai-anai yang berada di bawah tanah atau dalam struktur rumah tidak terjejas. Hanya dengan membunuh keseluruhan koloni barulah ancaman dapat dihapuskan sepenuhnya.

Anai-anai merupakan antara serangga perosak paling berbahaya kerana mampu merosakkan struktur rumah dari dalam tanpa disedari pemilik kediaman. — Agensi 

Lebih membimbangkan, tindakan menyembur serangga secara rawak boleh menyebabkan koloni anai-anai 'belajar' untuk mengelak laluan yang pernah terganggu dan membina laluan baharu sekali gus memindahkan serangan ke bahagian lain dalam rumah.

Anai-anai adalah makhluk yang sangat sensitif dan mudah terganggu. 

Bila habitat atau laluan mereka diganggu, mereka akan berselerak dan sukar dikesan semula sekali gus menyukarkan usaha pembasmian secara menyeluruh. 

Pemilik rumah juga dinasihatkan agar tidak membersihkan atau menyapu laluan lumpur yang dibina anai-anai kerana tindakan itu turut boleh mencetuskan tindak balas yang tidak diingini daripada koloni.

Justeru itu, penyelesaian terbaik ialah mendapatkan khidmat profesional. Pengendali kawalan makhluk perosak mempunyai kepakaran, peralatan dan strategi khusus untuk membasmi anai-anai dengan berkesan.

Ini kerana, rawatan yang dilakukan oleh profesional bukan sahaja menyasarkan anai-anai yang kelihatan, malah turut memberi fokus kepada pemusnahan koloni utama sekali gus memberi pelan pencegahan jangka panjang. 

Orang ramai turut digalakkan mendapatkan maklumat berkaitan pengendalian anai-anai melalui saluran digital. 

Terdapat ramai pakar yang berkongsi panduan dan kaedah berkesan melalui platform seperti YouTube, TikTok dan Reddit.

Namun begitu, mereka diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya mencuba kaedah sendiri tanpa pemahaman menyeluruh.

Masalah anai-anai bukan sekadar gangguan kecil, sebaliknya ancaman serius yang memerlukan tindakan bijak dan profesional. Jangan biarkan rumah anda menjadi mangsa 'perosak senyap' tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram