'Upgrade' kebun jadi port pelancongan, ramai petani kini mampu dapat duit lebih


  • Bisnes
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Agropelancongan mempunyai potensi besar untuk membantu petani menjana pendapatan lebih. — Selangor Fruit Valley

PISANG mungkin dianggap buah yang 'biasa-biasa' saja dan sering dilihat di kebanyakan kedai runcit atau pasar raya.

Tapi perasaan teruja akan timbul apabila melihat buah itu masih bergayut di pokok, tambahan lagi dengan kuantiti yang banyak di ladang.

Maka tidak hairanlah jika sekumpulan pengunjung Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya, Kuala Selangor, keterujaan itu akan terserlah apabila kanak-kanak menjerit 'Tengok tu! Pisang! Pisang!'.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bantal busuk' jadi ilham pasangan usahawan bina empayar Leyna, bantu ekonomi komuniti

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga

Antara yang berkunjung ke destinasi popular agropelancongan itu termasuk Rasimah Sukor dari Rawang bersama cucunya.

"Anda boleh menaiki 'bot darat', memberi makan kepada haiwan dan melihat buahan-buahan yang masih belum dituai.

"Budak-budak yang paling seronok, apatah lagi jika ada nilai pendidikan untuk mereka pelajari," katanya.

Pengunjung berpeluang memetik sendiri cili di kebuh pengusaha. — The Star/Grace Chen

Rasimah berkata, kanak-kanak yang membesar di bandar mungkin fikir hasil tanaman itu dari pasar raya.

"Dengan menyedari makanan ini perlukan masa untuk membesar, mereka akan belajar untuk tidak membazir makanan," katanya.

Pengurus besar syarikat pelancongan khas ke ladang di Sabak Bernam, Hairul Reazuan Asmayadi juga menyedari betapa seronoknya pengunjung apabila melibat sayur-sayuran dan buah membesar.

Golongan kanak-kanak antara paling teruja melihat hasil tanaman di kebun. — Selangor Fruit Valley

Hairul dan tiga rakannya mengambil peluang di atas potensi produk perladangan tempatan di kawasan itu dengan memberi pendedahan tentang potensi pelancongan di utara Selangor.

Usahanya itu juga membuka peluang kepada pengunjung untuk bertemu secara langsung dengan petani tempatan dan pemilik industri sampingan yang lain.

Disebabkan itu, syarikat pelancongan itu menjadikan golongan warga emas sebagai pasaran.

Hasil di kebun membuatkan ramai pengunjung teruja untuk memetiknya. — The Star/Grace Chen

Ini kerana Hairul mendapati golongan ini sedia untuk berbelanja selain golongan bekeluarga yang memiliki anak kecil.

"Dalam tempoh tiga tahun lepas, trend ini amat menggalakkan.

"Tidak kurang tiga bas membawa pengunjung ke destinasi ini setiap minggu.

"Ini tidak termasuk pengunjung persendirian yang memasuki kawasan ini pada hujung minggu.

"Seperti yang kita lihat, potensi pembangunan agropelancongan di Sungai Panjang sangat besar, terutamanya di Sabak Bernam yang terletak di laluan Lebuh Raya Persisiran Barat (WCE)," jelasnya.

Hairul berkata, pengunjung boleh merasai pengalaman ke ladang, sawah padi di Sungai Panjang yang merupakan sebahagian pengalaman agropelancongan.

Katanya, industri sampingan seperti perusahaan biskut kelapa yang diusahakan Norleha Saderi di Jalan Parit 3 Timur juga antara tarikan pelancong.

Hasni (dua dari kanan) mengusahakan biskut kelapa. — The Star/Grace Chen

Namun industri agropelancongan turut berdepan dilema terbesar iaitu ketidakpadanan bekalan dan permintaan.

Itu yang disuarakan penyelaras pelancongan, Hasni Kassim yang juga merupakan usahawan kerepek ubi.

"Kita mungkin mempunyai pengunjung tetapi ladang masih belum berbuah.

"Tapi jika musim buah dah tiba, musim cuti pula sudah habis," kata ibu kepada tujuh orang anak yang memainkan peranan untuk memilih ladang yang sesuai bagi pakej pelancongan.

Kisah petani

Di sebalik hasil buah-buahan yang menjadi tumpuan, pengunjung juga berminat mendengar kisah petani.

Seperti di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) 2 di Banting, Kuala Langat, kisah tanaman cili burung milik Zamri Hassan antara yang menjadi inspirasi pengunjung.

Manakan tidak, pada 2021, plot tanaman menempatkan 1,500 polibeg musnah akibat banjir dan Zamri dibantu isterinya terpaksa bangkit dari awal untuk membina semula tanaman tersebut menggunakan sistem fertigasi.

Kini dia memiliki kira-kira 3,000 pokok cili.

Pokok Hajat di Pulau Redang, Sekinchan yang menjadi tarikan umum. — Agensi

Tidak kurang juga kisah pemilik restoran Thai yang menarik perhatian pengunjung.

Mohd Syukri Daud sebelum ini merupakan pekebun padi di Teluk Intan, Perak dan beralih ke industri pemakanan di Sungai Besar.

Dia memilik bertukar bidang kira-kira setahun lalu selepas mengalami kerugian RM10,000 apabila sawah padinya musnah akibat banjir.

Ternyata keputusan itu tepat apabila dia mampu meraih pendapatan yang lebih stabil dengan membuka restoran.

Potensi agropelancongan

Sekinchan di Sabak Bernam juga mempunyai tarikannya yang tersendiri seperti Pokok Hajat di Pantai Redang yang dihiasi dengan riben merah.

Selain itu ada juga Galeri Padi yang dikelilingi sawah padi menghijau.

Pengunjung mengambil peluang bergambar dengan pemandangan ladang nenas di Sungai Merab. — The Star/Grace Chen

Menyingkap kembali kisah permulaan galeri itu, Allen Lim berkata, segalanya bermula pada 2006.

Pengarah pengurusan syarikat pemprosesan beras PLS Marketing itu berkata, pada tahun tersebut, dia menggunakan kontena bersaiz 12 meter (m) dengan mesin kecil untuk menunjukkan kepada orang ramai cara padi diproses menjadi beras.

"Kami juga menunjukkan kepada masyarakat tentang kesan penyakit padi," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Lim yang merupakan anak keenam dari 10 adik beradik, datang daripada keluarga petani padi.

Sejak kecil, dia sudah menyaksikan ibunya, Pua Choon, menabur benih padi di kawasan seluas 4.85 hektar hanya dengan menggunakan tangan sebelum kewujudan mesin.

Lim (kiri) melayani pengunjung di Galeri Padi. — The Star/Grace Chen

Lim berkata, idea untuk mewujudkan pusat lawatan itu timbul selepas syarikatnya mahu membina kilang besar baharu.

"Mulanya, ramai tak setuju dengan saya kerana timbul persoalan kemampuan untuk menarik minat orang melihat kilang beras.

"Tapi saya mahu orang ramai tengok cara kami memproses beras.

'Bukan sekadar mendidik tetapi ia juga mampu memberi keyakinan terhadap orang ramai tentang kualiti produk kami," katanya.

Dia merealisasikan impiannya itu dengan cara yang teliti apabila sanggup terbang ke Taiwan untuk menjalankan kajian tentang potensi sawah padi mampu menjadi tarikan umum.

Pengunjung di Selangor Fruit Valley berpeluang memberi makan kepada haiwan. — The Star/Grace Chen

Pada 2016, kontena kecil itu dinaik taraf menjadi galeri yang lengkap dengan penghawa dingin dan dengan hanya bayaran kecil, pengunjung boleh melihat cara beras diproses di sebalik tingkap yang besar.

"Sejak dibuka sehingga sekarang, sudah dua kali galeri ini dinaik taraf.

"Secara keseluruhannya, kami membelanjakan hampir RM2 juta untuk membangunkan galeri ini," kata Lim.

Selain galeri berhawa dingin, pengunjung juga boleh merasai pengalaman penanaman padi di 16 plot laman padi yang disediakan bersebelahan kontena tersebut.

 

19 tahun sudah berlalu tetapi Lim tetap merasa puas kerana dapat menerapkan elemen agropelancongan dalam perniagaannya.

"Banyak kali saya mampu bergantung kepada pendapatan sektor ini sebagai sumber tambahan," katanya.

Manfaat yang sama juga diperoleh pengusaha nenas, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain dari Sungai Merab, Kajang.

Mohd Noorhardy mengakui dia mampu menjana pendapatan tambahan apabila membenarkan orang luar melawat kebunnya.

Dengan konsep membina kafe dalam kebun pada 2019, bapa kepada tujuh orang anak itu berkongsikan bahawa aktiviti agropelancongan menyumbang sehingga 70% pendapatan perniagaannya.

Mohd Noorhardy bersyukur kerana mampu menjana pendapatan lebih menerusi agropelancongan. — The Star/Grace Chen

Namun dia tetap menasihatkan orang ramai agar merancang dan membuat kajian dengan teliti jika mahu terlibat dalam sektor itu.

Seperti yang dilakukannya, Mohd Noorhardy sanggup menghabiskan masa melawat ladang teh di Cameron Highlands, Pahang; ladang tenusu di Kundasang, Sabah dan kebun durian di Pulau Pinang.

Langkah ini amat penting katanya, demi memastikan pekebun tahu kelebihan ladang mereka.

"Ada ladang yang memiliki pemandangan indah, sesuai untuk pengunjung mengambil gambar, sekali gus mempromosikan kawasan mereka.

"Keadaan sekeliling seperti kemudahan parkir dan jalan juga perlu diambil kira," jelasnya.

Selain itu katanya, pekebun perlu menilai potensi kerosakan kepada plot tanaman dengan kehadiran ramai pengunjung.

"Pengunjung terutamanya budak kecil yang tidak pernah melihat pokok berbuah, mungkin akan memetik buah tersebut secara tidak sengaja.

"Jadi anda perlu masukkan kos kerugian 20% dalam perbelanjaan.

"Letaklah papan tanda peringatan supaya pengunjung lebih peka," katanya.

Geran disediakan

Menurut Kementerian Pertaninan dan Keterjaminan Makanan, geran agropelancongan sehingga RM200,000 tersedia untuk pengusaha kecil dan sederhana yang meraih pendapatan tidak lebih RM3 juta.

Geran itu boleh dimohon rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang pertanian, ternakan, perikanan dan industri agrikultur.

Permohonan itu boleh dibuat menerusi agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Nenas Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

Antara skop bantuan geran itu termasuk pembinaan bangunan, infrastruktur dan baik pulih jalan masuk.

Geran itu turut merangkumi kepada galeri jualan, tandas dan pusat maklumat pengunjung selain menaik taraf dan membina saluran longkang, sistem perpaipan dan papan tanda. — The Star/Grace Chan

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel danTelegram