
PENDERAAN terhadap pembantu rumah, khususnya melibatkan warga asing, terus mencetuskan kebimbangan di negara ini apabila kes demi kes dilaporkan, dengan mangsa bukan sahaja didera secara fizikal dan emosi, malah ada yang berakhir dengan kematian tragik.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sejumlah kes berprofil tinggi membabitkan penderaan kejam oleh majikan telah membuka mata masyarakat tentang realiti gelap yang dihadapi segelintir pembantu rumah di sebalik pintu tertutup kediaman mewah.
Antara bentuk penderaan yang dikenal pasti termasuk dipukul, tidak diberi makan secukupnya, dikurung, diugut, malah dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan kesihatan atau berkomunikasi dengan dunia luar.
BACA LAGI: Tular kes pelajar perempuan dibuli dalam tandas di Klang, polis akan ambil tindakan tegas
Meskipun pelbagai undang-undang dan peraturan digubal bagi melindungi kebajikan golongan pekerja domestik, pelaksanaan dan penguatkuasaannya dilihat masih belum mencukupi untuk membanteras sepenuhnya budaya penderaan yang berakar dalam sikap tidak berperikemanusiaan.
Terbaharu, seorang bekas finalis program realiti masakan terkenal, MasterChef Malaysia, Etiqah Siti Noorashikeen Sulang, 37, dan bekas suaminya, Mohammad Ambree Yunos, 44, dijatuhi hukuman penjara 34 tahun selepas disabitkan bersalah mendera hingga menyebabkan kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian menyayat hati yang menggemparkan negara.
Mangsa, wanita berusia 28 tahun, ditemui dalam keadaan lemah dan penuh kesan luka serta lebam di seluruh badan.
Etiqah Siti dan Mohammad Ambree dijatuhi hukuman penjara 34 tahun selepas menyebabkan kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia baru-baru ini.
Laporan forensik mendedahkan bahawa mangsa mengalami penderaan fizikal dan emosi berpanjangan termasuk kekurangan zat makanan, selain tidak pernah diberikan rawatan perubatan.
Mengulas kes tersebut, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, penderaan yang berpanjangan sehingga menyebabkan kematian selalunya berpunca daripada gabungan tekanan emosi, keinginan mengawal serta hilangnya rasa empati terhadap mangsa.
"Pelaku seperti ini seringkali menjadikan pembantu rumah sebagai tempat melepaskan tekanan atau kemarahan akibat masalah lain dalam hidup mereka seperti konflik rumah tangga, kerjaya atau kewangan," katanya kepada Majoriti.
Menurut beliau, terdapat juga kecenderungan untuk memandang pembantu rumah bukan sebagai manusia setara, tetapi sebagai ‘barang kerja’ yang boleh dimanipulasi dan dihukum sesuka hati.
"Walaupun sesetengah pelaku sedar bahawa tindakan mereka adalah salah, penderaan tetap berlaku secara berulang dan berlarutan kerana beberapa faktor psikologi yang menjadikan tingkah laku itu sukar dihentikan.
"Antara puncanya ialah rasionalisasi moral, iaitu apabila pelaku meyakinkan diri sendiri bahawa mangsa ‘patut’ menerima layanan sedemikian, justeru meredakan rasa bersalah dalam diri mereka," jelasnya.
Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad
Tambah beliau lagi, pelaku juga sering mengalami ketiadaan kawalan dalaman yang mana dorongan agresif mengatasi perasaan bersalah atau malu.
"Tambahan pula, ada dalam kalangan pelaku yang ketagih kepada kuasa, dan merasakan kepuasan emosi daripada perasaan dominasi ke atas mangsa, menjadikan mereka sukar untuk berhenti.
"Apabila seseorang mula merasionalisasi penderaan, menganggap mangsa layak diperlakukan begitu, lama-kelamaan mereka menjadi tidak sensitif terhadap kesakitan atau ketakutan orang lain.
"Ia satu bentuk ketagihan kuasa yang memberi rasa dominasi dan kawalan," ujarnya.
Dr Fauziah menambah, dalam sesetengah kes, pelaku mungkin menunjukkan ciri personaliti toksik seperti narsisistik, impulsiviti dan kekurangan kawalan diri, atau pernah menjadi mangsa penderaan sendiri pada masa lalu.
“Namun trauma masa lalu bukan justifikasi. Ia hanya sebahagian daripada pemahaman kepada tingkah laku ganas yang sangat kompleks. Tindakan kejam tetap perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Kes penderaan berulang dan berlarutan bukan perkara asing.
Menurut Dr Fauziah, antara sebab pelaku sukar berhenti adalah kerana rasionalisasi moral, desensitisasi terhadap penderitaan mangsa, kekurangan kawalan dalaman serta rasa 'ketagihan kuasa'.
"Paling membimbangkan, penderaan menjadi rutin kerana tiada tindakan daripada mangsa yang ketakutan, mahupun masyarakat yang membisu." katanya.
Beliau menegaskan, kes itu wajar menjadi pengajaran dan seruan kepada masyarakat serta pihak berkuasa agar memberi perhatian serius terhadap kebajikan golongan pekerja domestik yang mudah terdedah kepada eksploitasi dan penderaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram