
TINDAKAN pantas seorang pemandu pelancong berjaya menyelamatkan enam individu yang terjatuh ke laut selepas dua bot bertembung di Semporna, Sabah pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, bot pelancong terbabit sedang membawa sembilan pelawat iaitu seorang lelaki warga tempatan, tujuh wanita dari Semenanjung Malaysia dan seorang wanita warga Switzerland dalam perjalanan dari jeti awam Semporna ke Pulau Mabul.
Sementara itu, bot penumpang kayu yang dalam perjalanan dari Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum menuju ke pekan Semporna, turut berada di laluan sama sebelum kedua-dua bot berlanggar berhampiran sebuah pusat peranginan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran SMAP Kajang cetus kebimbangan, PIBG desak audit keselamatan SBP
BACA LAGI: Harimau Malaya pecah rekod 19 tahun ranking 125 FIFA, jangka lebih melonjak lepas Piala Negara CAFA
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, pelanggaran itu menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian hadapan kiri bot pelancong, manakala bot kayu mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
"Akibat pelanggaran itu, enam penduduk kampung berusia antara 30 hingga 40 tahun tercampak ke laut.
"Namun, kesemua mereka berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pemandu pelancong dan individu lain dari bot terlibat yang bertindak menarik mangsa ke tempat selamat," katanya pada Jumaat.
Tindakan pantas seorang pemandu pelancong berjaya menyelamatkan enam individu yang terjatuh ke laut selepas bot pelancong dinaiki pelancong bertembung dengan sebuah bot penumpang milik penduduk kampung di Semporna, Sabah pada Khamis. pic.twitter.com/1ugjzdOLQJ
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) July 11, 2025
Beliau berkata, mangsa yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita dihantar ke jeti Semporna sebelum bot pelancong meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, Jaafar memaklumkan siasatan tetap dijalankan mengikut kesalahan mengemudi bot secara cuai atau melulu yang boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengendali bot dan pengangkutan air agar sentiasa mematuhi semua aspek keselamatan semasa beroperasi di laut bagi mengelak kejadian tidak diingini. — The Star/ STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram