
SENTUHAN kreatif seorang suri rumah, Marzila Mohamad ternyata membuahkan hasil apabila mampu mengolah lebihan kain yang seharusnya dibuang ke dalam tong sampah menjadi produk kraf tangan unik.
Wanita berusia 53 tahun menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu juga membuktikan bakatnya dalam menghasilkan lapik kaki, meja, cawan dan banyak lagi daripada perca atau sisa kain.
Marzila yang berpengalaman sebagai tukang jahit lebih 30 tahun itu juga kini aktif menjual produk krafnya di pasaran secara terus dan dalam talian.
BACA LAGI: Jiwa 'nature' pengasas Kansha Life hasilkan 5 variasi minyak kelapa, lilin kitar semula
BACA LAGI: [VIDEO] Dari plastik terbuang ke beg unik, wanita Meru bijak kaut untung hanya gunakan kreativiti
Lapik kaki bersaiz besar yang dihasilkan daripada kain perca.
Ditanya pula bagaimana idea tersebut boleh tercetus, Marzila berkata, ia bermula selepas melihat banyak lebihan kain daripada pakaian yang dihasilkan di rumahnya.
"Sebab dahulu menjahit baju dan banyak kain-kain perca saya simpan.
"Jadi, bila nak buang rasa sayang. Sejak itu, saya mula buat lapik kaki.
"Campurlah semua jenis kain, kita jahit sampai jadi bentuk bulat atau panjang," katanya kepada Majoriti.
Katanya, meskipun ia tidak terlalu sukar, proses menghasilkan satu lapik juga sedikit rumit.
Marzila berkata, setiap perca perlu dipotong dengan saiz yang tepat tidak terlalu kecil atau besar agar boleh dicantumkan dengan mudah.
Antara produk kraf tangan dihasilkan Marzila.
Ibu kepada enam orang anak itu tidak menafikan bahawa proses menjahit perca memerlukan ketelitian, kesabaran dan kreativiti dalam menyesuaikan warna serta corak kain.
"Sebenarnya jahit ini tak susah cuma perlu rajin dan sabar. Bergantung pada saiz, biasanya lapik kaki sederhana boleh siap dalam masa sehari.
"Kalau anak ada pula, mereka juga tolong gunting kain," katanya.
Menurutnya, harga setiap hasil kraf juga berbeza bergantung pada saiz dan jenis kain yang digunakan.
"Biasanya memang guna lebihan kain baju yang ada corak-corak bunga, tetapi ada juga kain lain boleh guna.
"Kalau harga pula satu lapik kaki besar RM35, sederhana RM20 dan lapik cawan pula RM10 sahaja," kongsinya.
Walaupun hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah, Marzila tidak berputus asa untuk terus mengembangkan jualannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram