
TANPA perlukan bahan premium atau modal besar, Norhayati Ahmad hanya menggunakan kemahiran dan kreativitinya untuk menghasilkan produk beg kitar semula yang cantik dan unik.
Siapa sangka plastik beras, bungkusan gula-gula dan keropok seharusnya dibuang menjadi bahan berharga yang mendatangkan keuntungan.
Bagi wanita berusia 64 tahun berasal dari Meru, Klang, Selangor itu, perniagaan produk kraf tangan daripada plastik kitar semula bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.
Beg plastik kitar semula yang dihasilkan Norhayati Ahmad.
Pada awalnya, Norhayati hanya menerima tempahan kraf kait dan dilakukan secara kecil-kecilan di rumahnya.
Namun, segalanya bermula apabila melihat produk itu dihasilkan oleh saudaranya ketika program anjuran Persatuan Wanita Desa (PWD).
"Sebelum ini memang mengait dari rumah untuk isi masa lapang. Jadi, lepas ikut sepupu dan tengok cara dia kitar semula plastik terus rasa seronok nak cuba.
"Saya belajar pun dari video YouTube. Mula-mula buat beg kecil, bila dah mahir saya buat saiz besar pula," katanya kepada Majoriti.
Plastik yang digunakan perlu dibasuh sebelum dipotong secara memanjang.
Menurut Norhayati, menghasilkan satu beg daripada bahan kitar semula mengambil masa hampir sehari atau lebih.
Walaupun kelihatan mudah, prosesnya juga menuntut kesabaran, ketelitian dan masa.
"Kalau buat besar, seminggu pun belum tentu siap.
"Sedikit rumit bila proses mencuci plastik terutama yang berminyak dan perlu dikeringkan sepenuhnya sebelum dipotong.
"Jenis plastik yang saya guna ada berbeza-beza tekstur, contohnya plastik beras licin.
"Ada juga pembungkus coklat yang sedikit kasar, jadi ia lebih senang untuk dilipat dan dicantum," jelasnya.
Cara Norhayati mengait beg menggunakan plastik kitar semula.
Harga setiap beg juga dijual dengan harga berbeza mengikut saiz.
"Paling mahal beg saya jual RM80 sebab saiznya sedikit besar.
"Bukan itu sahaja, saya tambah sekali dengan tali beg tangan, ada yang plastik dan macam rantai besi," jelasnya.
Walaupun hasil kraftangannya belum dikomersialkan sepenuhnya, Norhayati tetap menerima beberapa tempahan dan minat daripada kenalan.
"Kalau ada orang minta, saya buat. Kadang-kadang saya simpan sahaja untuk isi masa lapang. Seronok bila dapat hasilkan sesuatu," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram