
KEMERIAHAN siri pertama Jelajah Sawit Hijau yang dibawakan khas oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Aman Central, Kedah pada Sabtu lalu ternyata mampu membuka mata rakyat Malaysia tentang kepentingan sawit dalam ekosistem alam semula jadi.
Rata-rata pengunjung yang hadir mengambil kesempatan itu untuk mempelajari ilmu baharu berkenaan konservasi di negara ini.
Program ini secara tidak langsung memberi peluang buat ibu bapa mendedahkan anak-anak mereka mengenai pentingnya mempertahankan industri sawit negara serta hidupan liar yang juga turut diberi jolokan 'The Other Malaysian'.
BACA LAGI: Pengiktirafan Dr. Farina cerminan keupayaan pakar konservasi tempatan — MPOGCF
Mohammad Sharul Amin (kiri) bersama isterinya, Nur Hani (kanan) pada program Jelajah Sawit Hijau.
Teruja melihat reruai-reruai yang disediakan, pasangan suami isteri dari Baling, Kedah, Mohammad Sharul Amin Mohammad dan Nur Hani Shazwani Mohd Redzo tidak menafikan usaha MPOGCF dapat membantu daripada aspek pendidikan kepada kanak-kanak.
"Program ini sememangnya sangat bagus untuk anak belajar tentang haiwan-haiwan terancam di Malaysia seperti Orang Utan, gajah, harimau dan sebagainya.
"Sebelum ini, saya sendiri tak tahu tentang kaitan sawit dengan hidupan liar, tetapi bila datang program ini saya baru sedar peranan mereka," katanya ketika ditemui pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau itu.
Bagi Mohd Faris Iraqi Abdullah dari Naka, Alor Setar pula, program ini jelas memberi impak positif terutama kepada industri perladangan atau pertanian di Malaysia.
Mohd Faris Iraqi yang turut teruja melihat reruai yang disediakan dalam program ini.
Katanya, ia juga inisiatif yang perlu dilaksanakan secara berterusan agar dapat memberi pendedahan lebih luas kepada penduduk luar bandar atau kawasan perindustrian berkaitan.
"Saya rasa program ini sangat bagus sebab saya sendiri bekerja dalam bidang perladangan dan memang terdedah dengan hidupan liar terutama gajah.
"Jadi, bila datang ke jelajah ini, saya ditunjukkan cara-cara nak berkomunikasi dengan kawanan gajah, situasi apa yang boleh berlaku.
"Pada masa sama, orang luar boleh belajar tentang pembiakan burung pungguk jelapang (barn owl) yang memang khusus untuk penjagaan ekosistem sawit, bendang padi dan tanaman lain," katanya.
Sementara itu, memilih tagline Konservasi Kunci Sawit Mampan, acara berkenaan dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.
Program julung kali dicetuskan MPOGCF turut menampilkan rakan strategik Barn Owl & Rodent Research Group (BORG), Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud sebelum ini memberitahu, program tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan sawit dalam ekosistem negara.
Hairulazim (dua dari kiri) dan DJ Lin (tiga dari kiri) ketika sesi mengumumkan pemenang meneka berat tandan sawit.
"Dengan kempen seperti ini, kita dapat kongsikan maklumat-maklumat kepada orang ramai tentang apa yang sedang berlaku di luar sana terutama dalam kerja konservasi melibatkan kehidupan liar dan industri sawit.
"Kempen ini juga penting untuk memperbetulkan persepsi dan tanggapan negatif mengatakan industri sawit tidak mesra alam atau membunuh hidupan liar," katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama, ia juga bermatlamat menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pelbagai aktiviti dianjurkan untuk menarik minat masyarakat termasuk menyalurkan maklumat tentang kehidupan alam semula jadi di Malaysia.
Acara turut dihadiri oleh Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud; Pengurus Komunikasi Strategik MPOCGF, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin.
Sambutan hangat daripada warga Kedah sepanjang siri pertama berlangsung di Aman Central pada Sabtu lalu.
Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi Aisha Retno, Ara Johari, Dr Soo Wincci dan Lan Solo.
Selain zon utara, program tersebut juga dijadualkan berlangsung di tiga lagi zon iaitu di selatan iaitu di Johor; timur (Terengganu) dan terakhir di Selangor.
Pihak MPOGCF berharap melalui program dan kempen kesedaran awam seumpama ini sokongan masyarakat terhadap kebajikan dan kesejahteraan hidupan liar yang dilindungi dapat ditingkatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram