Dulu berhujah di mahkamah, kini bekas peguam jelita jalani hidup baharu buka salun kuku di AS


  • Bisnes
  • Khamis, 10 Jul 2025

Liudmyla memulakan hidup baharu di AS sebagai pemilik salun kecantikan kuku. — Agensi

DALAM satu sudut tenang di Seminole, Florida, Amerika Syarikat (AS), terdapat sebuah salun yang menawarkan perkhidmatan kecantikan kepada pelanggannya.

Dengan hiasan gubahan bunga, sebuah televisyen besar sambil alunan muzik lembut dimainkan, di situlah bekas peguam dari Ukraine, Liudmyla Nikohosian menjalani kehidupan baharunya selepas melarikan diri dari konflik dan senjata.

Ruang yang direka dengan teliti di Florida itu secara tidak langsung memberi ketenangan buatnya untuk menjalankan perniagaan.

BACA LAGI: Suami panaskan enjin kereta isteri sebelum pergi kerja antara 'love language', tip pasangan tambah sayang

BACA LAGI: [VIDEO] Dilarang jumpa sejak usia 7 bulan, lelaki ubati kerinduan peluk ibu kandung selepas 23 tahun terpisah

Liudmyla Nikohosian. — Agensi

Namun, di sebalik suasana damai dan keindahan itu, tersimpan kisah perjalanan yang penuh dengan cabaran.

Tiga tahun lalu, Nikohosian bekerja sebagai peguam di sebuah firma pembinaan.

Bagaimanapun, selepas Rusia menyerang Ukraine pada 2022, dia bertekad melarikan diri dan meninggalkan kerjayanya di Ukraine.

Perjalanannya bermula apabila Nikohosian tiba di AS melalui program parol kemanusiaan dan menetap di Tampa, Florida.

Sejak itu, dia mula belajar berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dan memulakan latihan sebagai pakar kecantikan kuku.

Nikohosian kemudiannya membuka perniagaannya sendiri dengan jenama Nails by Mila.

"Saya terpaksa buat keputusan sama ada kekal dalam situasi bahaya atau ambil peluang ini.

"Dunia yang saya kenal (Ukraine) runtuh dalam sekelip mata," katanya.

Masih tersemat dalam ingatannya, beberapa siri letupan dari Rusia yang menggegarkan blok rumahnya di Zaporizhzhia pada pagi 24 Februari 2022.

Nikohosian kini bekerja dalam bidang kecantikan. — Agensi

"Saya terpaksa berlindung di rumah kawan di Turki, Jerman sementara tunggu untuk berpindah ke AS.

"Sebelum perang, saya bercita-cita untuk menjadi hakim. Ada kalanya saya persoalkan sama ada saya buat keputusan yang betul.

"Tetapi, jauh di sudut hati saya tahu bahawa saya perlu terus bergerak ke hadapan," jelasnya.

Di bumi AS, kecintaan Nikohosian terhadap dunia kecantikan mula terbit dalam dirinya.

Terus bertahan demi meneruskan hidupnya, dia memutuskan untuk keluar daripada zon selesa dan memulakan perniagaan salun.

Dunia kecantikan jadi penyelamat

"Ia adalah dunia yang sama sekali berbeza daripada bilik mahkamah. Saya sudah jatuh cinta dengan seni itu," katanya.

Para pelanggan dilayan dengan mesra di salunnya. — Agensi

Menurutnya, salun kukunya juga menawarkan pelbagai gaya Ukraine dengan reka bentuk yang berani dan unik.

"Kami menawarkan perkhidmatan hias, spa dan rawatan kuku dengan hanya menggunakan bahan organik untuk melindungi kesihatan pelanggan.

"Kami juga mengembangkan tawaran untuk memasukkan perkhidmatan rawatan bulu mata dan kening profesional untuk mereka yang ingin menyerlahkan gaya unik mereka," katanya.

Modal permulaannya juga diperoleh daripada bantuan pinjaman daripada sebuah program pembangunana usahawan di AS.

Kemudian, dengan kerjasama HIAS Economic Advancement Fund, program tersebut menganugerahkannya geran tambahan untuk membantu menampung perbelanjaan lain.

Meskipun terdapat ancaman politik serta isu melibatkan status kewarganegaraannya, Nikohosian tetap bersedia mengharungi cabaran itu dengan tenang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram