
MENGAMBIL pendekatan menggunakan bahan semula jadi, Kansha Life berjaya menghasilkan rangkaian produk mesra alam berasaskan kelapa.
Kelapa sememangnya terkenal dengan pelbagai khasiatnya yang bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan, malah kecantikan.
Dari air sehinggalah minyaknya, kelapa juga menjadi antara bahan penting dalam pelbagai produk penjagaan badan, kulit dan rambut.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari plastik terbuang ke beg unik, wanita Meru bijak kaut untung hanya gunakan kreativiti
BACA LAGI: [VIDEO] 'Corak tak jadi pun laku', seni batik tanah liat makin memikat hati rakyat Malaysia
Produk minyak kelapa Kansha Life yang tiada campuran bahan kimia berbahaya. — Kansha Life
Diasaskan oleh Nurul Azriani Azrae, 40, Kansha Life menawarkan pelbagai produk minyak kelapa termasuk lilin kitar semula di Langkawi, Kedah.
Bukan sekadar menjalankan perniagaan, Nurul Azriani atau lebih mesra dipanggil Skaii turut giat bekerjasama dengan penduduk tempatan di sebuah perkampungan kecil di Langkawi untuk mengubah sisa kepada produk hijau.
Skaii pada masa sama menerapkan dan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dalam komuniti.
Mewakilinya, ibu Skaii, Nur Zalina Mohamad, 64, merangkap Pengurus Kansha Life berkata, anaknya itu sememangnya seorang yang mementingkan alam sekitar.
Minat mendalam Skaii terhadap alam semula jadi mencetuskan idea perniagaannya. — Kansha Life
"Justeru, kami hasilkan produk yang selamat untuk digunakan semua peringkat usia, dari bayi sehingga dewasa.
"Macam Skaii, dia kalau di rumah pun dia tak pandai duduk diam, pasti ada sahaja aktiviti hijau dibuat seperti bercucuk tanam, bersihkan laman dan sebagainya.
"Jadi, minatnya terhadap alam semula jadi berikan ilham untuk hasilkan produk minyak kelapa ini," katanya kepada Majoriti.
Nur Zalina (kiri) aktif melibatkan diri dalam aktiviti jualan dan pasaran Kansha Life.
Variasi minyak kelapa
Terdapat lima jenis minyak kelapa yang dipasarkan seperti Original E.V.C.O, Ageless, Bourbon Vanilla, Spotless dan Baby Blend.
Setiap jenis itu juga mempunyai fungsi berbeza, tetapi masih mengekalkan matlamat yang sama iaitu memberi manfaat secara semula jadi.
Kata Nur Zalina, penggunaan produk kecantikan dengan campuran bahan kimia mungkin memberi kesan lebih cepat berbanding minyak kelapa.
Namun, ia juga berisiko memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang kepada pengguna.
"Kelapa dan vanilla antara dua bahan utama yang kami pilih sebagai variasi tambahan.
"Proses pembuatannya melibatkan kaedah penapaian tanpa haba untuk pastikan tekstur dan molekul minyak halus dan mudah meresap dalam kulit," jelasnya.
Istimewanya minyak kelapa Kansha Life, ia tidak hanya terhad kepada kegunaan luar seperti urutan, tetapi turut boleh dimakan.
Katanya, Original E.V.C.O dan Bourbon Vanilla merupakan dua produk minyak kelapa yang boleh digunakan secara dalaman.
"Kegunaannya bila kita rasa sakit tekak, boleh dimakan dalam kuantiti sederhana.
"Kenapa ia boleh ditelan sebab kami gunakan 100 peratus kelapa asli dan tiada bahan campuran lain.
"Ekstrak vanilla pun kami import dari Comoros dan Madagascar, Afrika Timur untuk beri aroma menenangkan jika disapu pada kulit," katanya.
Proses pembuatan minyak kelapa Kansha Life. — Kansha Life
Tumpuan khas juga diberikan kepada produk bayi seperti Baby Blend Oil yang mempunyai gabungan minyak kelapa dara, lavender dan vanila.
Ia juga sesuai untuk urutan bayi, merawat ruam, ekzema dan kulit kering.
Inovasi lilin
Masih berpegang teguh dengan misi dan visi untuk menjaga alam, Skaii muncul dengan idea untuk melakukan inovasi unik menggunakan lilin kitar semula.
Menurut Nur Zalina, lilin aromaterapi yang dihasilkan juga diperbuat daripada lilin hotel terpakai yang masih berkualiti.
Lilin kitar semula diproses daripada lilin terpakai di hotel. — Kansha Life
"Biasanya kami akan ambil lebihan lilin yang hotel-hotel mewah tak guna lagi, kami proses semula jadi lilin eksklusif yang cantik dan beraroma.
"Walaupun guna bahan kitar semula, lilin ini tetap selamat digunakan sebab tiada campuran bahan kimia berbahaya dan hanya tambah wangian semula jadi," jelasnya.
Disebabkan nilai dan kualiti produk minyak kelapa yang premium, Nur Zalina berkata, ia lebih dihargai di pasaran pelancongan.
"Setiap botol dijual pada harga berbeza bermula RM39.90 hingga lebih RM100," katanya.
Beliau bagaimanapun mengharapkan agar ia dapat diterima baik oleh masyarakat tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram