
KISAH seorang guru dan anak muridnya di sebuah sekolah baru-baru ini menyentuh hati ramai.
Berdasarkan hantaran pengguna akaun Threads @mr_alicakes, kenangan yang paling diingatinya sepanjang bergelar guru adalah ketika berkongsi rezeki dengan murid-murid.
Katanya, kisah itu bermula sewaktu beliau membawa kek batik untuk diberikan kepada anak muridnya di dalam kelas.
BACA LAGI: Dulu berhujah di mahkamah, kini bekas peguam jelita jalani hidup baharu buka salun kuku di AS
Namun, tanpa disedari, seorang murid perempuan dilihat bertindak menyimpan sepotong kek tersebut dengan cermat menggunakan tisu untuk dibawa pulang.
"Disimpan elok sampai kek hampir cair, ingatkan nak makan waktu rehat.
"Waktu balik pula nampak dia dan adiknya tunggu hadapan bas sekolah.
"Dia nyanyi lagu ulang tahun pada adiknya, atas bangku nampak kek batik hampir cair.
"Dari jauh dia jerit pada saya 'terima kasih cikgu bagi kek batik! Adik saya suka. Hari ini hari jadi dia'.
"Gugur air mata waktu itu juga," katanya.
Tersentuh dengan keikhlasan dan kasih sayang murid tersebut, keesokan harinya beliau mengambil inisiatif membuat kek ulang tahun khas untuk adik-beradik itu.
Kek tersebut turut dihias secara ringkas dengan tulisan nama mereka dan diberikan ketika pulang dari sekolah.
"Si kakak bergenang air mata. Dia tanya 'nanti bila dah besar, ada kerja saya akan cari cikgu Ali, saya belanja cikgu pula. Cikgu jangan pindah, saya janji cikgu'.
"Selang beberapa hari, dia letak nasi goreng ikan atas meja saya. Ibunya masak awal pagi tadi. Benarlah kata orang, selain hospital, sekolah juga ajar kita besarnya erti syukur dengan kehidupan sendiri," tambahnya.
Menurutnya, murid tersebut kini sudah melangkah ke sekolah menengah dan tiada lagi khabar berita daripadanya.
Beliau bagaimanapun tetap mendoakan kejayaan anak muridnya itu dunia dan akhirat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram