
SEORANG pengusaha salun dan kedai makan bersama suami serta tiga ahli keluarganya yang ditahan pada 27 Jun lalu kerana memiliki 35.4 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM5 juta yang disimpan dalam timbunan najis lembu, dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan pada Khamis untuk proses pendakwaan.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu tiba pada pukul 9.10 pagi dengan menaiki trak polis dengan mereka dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sekiranya didapati bersalah, semua boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang motosikal maut, penduduk sempat kejar pemandu cuba larikan diri di Pasir Mas
Polis sebelum ini menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Pasir Mas.
Tertuduh terdiri daripada Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, dan suami, Mohd Faizal Ismail, 35, serta tiga yang lain Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39; Mohamad Farid Ismail, 33, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25 tahun.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar 115 gram dadah jenis methamphetamine yang dijumpai di dalam sebuah kereta Perodua Axia di simpang tiga Jalan Gajah Mati berdekatan Kampung Banggol Chicha pada pukul 11.15 pagi 27 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah didakwa mengedar 112 gram dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Banggol Chicha pada pukul 11.30 pagi hari yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, kesemua lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar 19.8kg dadah jenis methamphetamine di sebuah kandang lembu belakang rumah di Kampung Banggol Chicha pada pukul 4.30 petang hari yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Syazalia Che Suhaimi manakala Nur Ayu Fatihah dan Mohd Faizal diwakili peguam, Mohd Norazihan Adnan, sementara tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes dan tiada tawaran jaminan diberikan terhadap tertuduh.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam suspek termasuk sepasang suami isteri, disyaki memiliki dadah jenis pil kuda seberat lebih 35.4 kg dianggarkan bernilai RM5.04 juta di Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan pada 27 Jun lalu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram