
PEMANDU bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik di Pulau Perhentian minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu pada Khamis atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, lapor Harian Metro.
Tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut pertuduhan, Azrie didapati memasukkan dadah dipercayai jenis Nimetazepam ke dalam badan di Pejabat Narkotik IPD Besut pada pukul 10.05 pagi, 29 Jun lalu.
BACA LAGI: 183 pelajar terlibat samseng jalanan, lumba haram — Polis KL
BACA LAGI: [VIDEO] Polis kesan wanita cantik didakwa curi telefon di Cheras
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Norhuda Mohamed Khan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dan 4 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan patologi.
Terdahulu, media melaporkan bot yang dipandu tertuduh membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun, terbalik akibat ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar kira-kira pukul 10.30 malam, Sabtu lalu.
Tragedi itu meragut tiga nyawa iaitu S Arumugam, 40, anak perempuannya A Sarrvihka, 3, dan saudara mereka V Vennpani, 10.
Hasil ujian mendapati tertuduh positif dadah dan turut mempunyai lima rekod jenayah lampau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram