[VIDEO] Kanak-kanak Iran dihempas 'lelaki gila' di lapangan terbang Moscow makin pulih, boleh makan sendiri


  • Benua
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Yazdan (gambar kecil) semakin pulih selepas mengalami kecederaan serius selepas dihempas seorang lelaki tidak dikenali di Lapangan Terbang Sheremetyevo dekat Moscow Jun lalu.

BUDAK lelaki berusia dua tahun yang sebelum ini menjadi mangsa serangan kejam di Lapangan Terbang Sheremetyevo dekat Moscow, Rusia kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu makan sendiri.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pentadbir laman Instagram @landpalestine pada Jumaat yang memuat naik keadaan terbaharu mangsa, Yazdan, yang semakin pulih selepas mengalami kecederaan serius.

"Pagi ini, Yazdan makan pisang dan kentang lenyek. Dia masih berhati-hati dengan orang dewasa yang tidak dikenali, tetapi ibunya kini boleh menarik nafas lega kerana nyawanya tidak lagi dalam risiko," menurut hantaran tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan biar anak tak diawasi elak kes pelancong tiba-tiba hempas budak 2 tahun di Moscow

BACA LAGI: [VIDEO] Belum tiba ajal, ‘rider’ tercampak ke laut diselamatkan nelayan di Jambatan Pulau Pinang

Ibunya turut merakamkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan orang ramai terhadap mereka.

Terdahulu, media antarabangsa Metro UK pada Selasa melaporkan bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan stabil, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Klinikal Kanak-Kanak L.M. Roshal, Moscow.

 

 

Bapanya, Mohammed Shahim berkata anak lelakinya itu masih lagi menerima rawatan dan dalam keadaan stabil.

"Dua jam lalu, alat bantuan pernafasan telah ditanggalkan. Doktor maklumkan Yazdan akan kekal di ICU sehingga esok.

"Dia sudah sedar, membuka mata, tetapi masih belum bercakap. Saya berada bersamanya setiap saat, 24 jam sehari," katanya.

Ketua Pakar Perubatan hospital berkenaan, Dr Tatyana Shapovalenko turut mengesahkan bahawa Yazdan kini sudah boleh bernafas sendiri dengan bantuan oksigen beraliran tinggi.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak malan itu cedera parah selepas dikasari seoran inividu lelaki ang tidak dikenali.

Dalam kejadian yang mengejutkan itu, suspek dikenali sebagai Vitkov, 31, dilaporkan menghempaskan Yazdan ke lantai tanpa sebab ketika mereka berada di balai ketibaan.

 

 

Suspek yang merupakan warganegara Belarus masih dalam tahanan pihak berkuasa dan enggan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

"Dia bukan lelaki, dia syaitan. Dia menghina saya dan isteri,” kata bapa Yazdan dengan nada kesal.

Siasatan awal mendapati Vitkov berada di bawah pengaruh dadah dan turut mengakui dirinya pesakit skizofrenia.

Beberapa laporan menyebut dia berada dalam penerbangan sama dengan mangsa dan ibunya, yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Iran selepas melawat saudara-mara.

Vitkov dipercayai dalam perjalanan pulang ke Belarus melalui Moscow selepas gagal ujian saringan dadah dan alkohol untuk satu pekerjaan di Mesir.

Ketika soal siasat, dia didakwa mengaku bersalah dan memberitahu polis bahawa dia berada dalam pengaruh dadah ketika melakukan serangan kejam terhadap kanak-kanak tidak berdosa itu.

Kata kunci: Yazdan, Sheremetyevo, serangan kanak-kanak, Moscow, ICU, Vitkov, dadah, skizofrenia, Iran, landpalestine, pulih, trauma, lapangan terbang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram