Batik 'revival' Nu Bellaas, digitalisasi warisan cara wanita KL pikat gaya generasi muda


  • Bisnes
  • Khamis, 10 Jul 2025

Bella (kanan) mahu mengangkat dan meraikan budaya Malaysia dengan sentuhan moden yang lebih segar serta mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat.

PADA usia yang masih muda, Nabilah Aqilah Asraf meneroka dunia fesyen tempatan melalui jenama Nu Bellaas yang lahir daripada minatnya terhadap batik.

Perkara tersebut bagaimanapun bukan asing buat wanita berusia 28 itu memandangkan ibunya, Saleha Mat merupakan usahanita berjaya dalam bidang jahitan dan pembuatan pakaian.

Ketika masih belajar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA dalam jurusan Reka Fesyen, Nabilah berkata, dia sudah pun terlibat secara aktif dalam perniagaan keluarga.

“Saya mula dengan membantu mak, yang merupakan generasi pertama dalam bisnes ini,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Jiwa 'nature' pengasas Kansha Life hasilkan 5 variasi minyak kelapa, lilin kitar semula

BACA LAGI: [VIDEO] Dari plastik terbuang ke beg unik, wanita Meru bijak kaut untung hanya gunakan kreativiti

Antara corak batik digital yang dijadikan magnet peti sejuk.

Keinginan Nabilah yang mesra disapa Bella didorong oleh minat untuk mempersembahkan batik tradisional dengan cara yang lebih segar dan moden agar ia kekal relevan dan diminati pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda.

Namun semua itu tidak mudah apabila negara dilanda pandemik yang mana keadaan mencabar itu menyaksikan Bella dan ibunya perlu mencari hala tuju baharu yang lebih segar, moden dan selari dengan keperluan pasaran semasa.

Menjalankan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tentunya bukan perkara mudah.

“Masa itu pelanggan masih takut nak keluar rumah. Kuasa membeli juga sangat rendah,” kongsinya.

Begitu pun, pada 2022, Bella mendapat semula keyakinan selepas menyertai pertandingan Batik Revival.

Dari situ, dia berpeluang mempamerkan lukisan batik sepanjang enam meter selain turut menerima bimbingan daripada tokoh-tokoh batik terkenal seperti Noor Arfa Batik dan pengasas Bujins Batik.

 

Berdasarkan pengalaman tersebut, dia bukan sahaja belajar teknik-teknik baru, tetapi turut diberikan peluang membuka gerai jualan di Sungei Wang Plaza sempena musim perayaan Aidilfitri.

Bella mengakui, walaupun jualan agak perlahan pada mulanya, pengalaman itu tetap mengukuhkan semangatnya.

Bagi menyambung legasi perniagaan ibunya, Bella membina identiti tersendiri bersandarkan kreativiti dan inovasi, tanpa mengetepikan nilai tradisi yang telah sekian lama menjadi tunjang kejayaan keluarganya.

Didedahkan kepada suasana bengkel jahitan, fabrik dan pertunjukan fesyen sejak kecil, Bella tampil dengan pendekatan baharu menerusi suntikan idea-idea kreatif yang segar.

Walaupun batik sering dikaitkan dengan warisan lama, Bella tidak mahu terikat sepenuhnya dengan bentuk tradisional.

“Kami tak terlalu rigid ikut motif klasik. Kami digitalisasikan lukisan asal untuk dijadikan produk secara lebih meluas.

"Hasilnya, batik Nu Bellaas lebih mudah diterima golongan muda dan pelanggan antarabangsa.

"Kalau macam shawl batik pun, ada pelanggan mat saleh yang beli tapi kami cadangkan cara pemakaian berbeza seperti lilit pada beg, dijadikan table runner atau hiasan sofa,” katanya.

Bella boleh menghasilkan lukisan batik pada kasut sneaker bagi menyuntik cita rasa yang lebih moden dan segar.

Nu Bellaas yang mendapat namanya daripada perkataan 'nebula' menawarkan pelbagai produk berasaskan batik termasuk selendang sifon, telekung, tote bag, tiffin atau mangkuk tingkat, sarung bantal, serta aksesori deko rumah seperti alas meja dan coaster.

Menurut Bella, keunikan produk itu terletak pada gabungan teknik batik tradisional seperti canting selain crackle dan wet-on-wet — teknik berus air yang menghasilkan gabungan warna semula jadi.

“Teknik crackle contohnya memerlukan beberapa lapisan lilin dan pewarna. Prosesnya rumit dan mengambil masa yang panjang.

“Kadang-kadang ambil dua minggu untuk siapkan satu batch, bergantung kepada cuaca.

"Kalau panas, memang lebih senang sebab kain ambil masa lebih cepat untuk kering," katanya sambil memberitahu selendang berharga antara RM89 hingga RM99 adalah antara barangan paling laris terjual.

Mangkuk tingkat dan 'pouch' lilin dalam batik digital juga menjadi antara produk menarik Nu Bellaas.

Produk itu katanya, menjadi pilihan ramai untuk dijadikan hadiah atau cenderahati kerana rekaannya yang elegan dan membawa elemen budaya Malaysia secara moden.

Produk canting pula seperti sarung bantal boleh mencecah hingga RM185 sehelai, menggambarkan nilai seni serta ketelitian dalam setiap helaian batik yang dihasilkan.

Bella berkata, dia berhasrat untuk menambah koleksi selendang dengan menggunakan fabrik sutera namun kajian penyelidikan serta pembangunan perlu dijalankan bagi memastikan kesesuaian dari segi teknik, kos dan kemudahan pengeluaran.

“Kami mahu memperluas jenis fabrik dan teknik yang digunakan, tetapi dalam masa yang sama perlu realistik dengan kemampuan dari segi pengeluaran dan harga pasaran,” jelasnya.

Selendang batik yang menggunakan teknik 'crackle' dijual pada harga antara RM89 hingga RM99.

Meskipun berdepan cabaran, Bella fokus untuk mengangkat dan meraikan budaya Malaysia dengan sentuhan moden yang lebih segar serta mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami nak raikan budaya Malaysia, tapi dengan pendekatan yang lebih segar dan mudah diterima,” katanya.

Dengan gabungan warisan, kreativiti, dan semangat inovatif, Nu Bellaas bukan sekadar sebuah jenama fesyen sebaliknya satu usaha gigih menyambung legasi keluarga sambil menyegarkan semula seni batik agar kekal relevan dan bermakna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram