Teruskan legasi ibu, anak pengasas Wardah guna kepakaran dermatologi pacu industri kosmetik halal


  • Bisnes
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Peranan Dr Sari (kiri) dalam syarikat tidak banyak berbeza daripada ibunya yang pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 Wanita Paling Berpengaruh di Indonesia pada 2021 dan 2022. — Agensi

JENAMA Wardah tidak asing lagi dalam kalangan peminat kosmetik baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Bagi yang mengikuti rapat asal usul jenama itu, anda tentunya familiar dengan nama Nurhayati Subakat.

Beliau adalah Pengasas dan Presiden Paragon Technology and Innovation, syarikat menguruskan beberapa jenama kosmetik terkenal seperti Wardah, Make Over dan Emina.

BACA LAGI: Lebih sedekad pejuang hak wanita, Cinta Laura kesal masih ramai perempuan jadi mangsa gangguan seksual

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bali bukan untuk dijual', wanita suarakan kebimbangan terhadap komersialisasi 'tanah suci'

 

 

Di sebalik susuk wanita berusia 75 tahun itu, ada anaknya, Dr Sari Chairunnisa yang bertindak sebagai pengasas bersama dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Paragon.

Baru-baru ini, Dr Sari mencuri tumpuan global ketika muncul The Business of Beauty Global Forum 2025.

Acara yang berlangsung di California, Amerika Syarikat itu dihadiri oleh para gergasi industri dan menyaksikan Dr Sari bercakap dalam sebuah sesi bertajuk 'Our Place In Culture: Inside the Halal Beauty Room'.

Beliau menekankan bagaimana kecantikan halal bukan sekadar tentang bahan yang digunakan, tetapi mencerminkan gaya hidup serta komitmen mendalam terhadap penghasilan produk yang baik.

Dr Sari turut berkongsi perjalanan Paragon dari Indonesia ke pentas dunia, mencipta produk kecantikan dan berinovasi berteraskan nilai-nilai agar diterima dalam pelbagai budaya, di mana halal bukan sekadar piawaian, tetapi satu matlamat.

Peranan Dr Sari dalam Paragon tidak banyak berbeza daripada ibunya yang pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 Wanita Paling Berpengaruh di Indonesia pada tahun 2021 dan 2022.

Merupakan anak ketiga Nurhayati, Dr Sari mengikut jejak langkah ibunya kerana memiliki kelulusan dalam bidang perubatan dan kepakaran dermatologi dari Universiti Indonesia.

Dr Sari bertindak sebagai pengasas bersama dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Paragon. — Instagram

Beliau bekerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan selama lebih tujuh tahun, dengan kepakaran khusus dalam pembangunan penjagaan kulit serta kosmetik.

Dalam perniagaan keluarganya, Dr Sari bertanggungjawab menjalankan penyelidikan, inovasi, kesihatan, dan pendidikan.

Selain itu, sebagai seorang doktor kulit, beliau juga pernah menjalankan amalan perubatan di Klinik Bamed namun kini beliau sudah tidak lagi bertugas di sana.

Sumbangannya dalam bidang kedoktoran dan penyelidikan kosmetik menjadikannya antara tokoh terkemuka dalam industri kecantikan Indonesia.

Pada Mei lalu, Dr Sari tersenarai dalam nominasi Sekar Agni Negeri, sebuah acara penghargaan kelolaan Media Indonesia, Detik.com untuk menghargai sumbangan wanita di negara itu.

Penghargaan tersebut sekali gus sebagai peringatan terhadap perjuangan Raden Ajeng Kartini yang memperjuangkan hak dan pendidikan golongan wanita di negara Nusantara itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram