
PERNAH perhatikan wujud wanita yang sama sekali tidak kalut soal percintaan? Tidak kejar, merayu atau risau ditinggalkan.
Malah, mereka kelihatan tenang dan fokus membina hidup sendiri.
Persoalannya, mengapakah wanita bernilai tinggi kelihatan begitu santai dalam urusan percintaan?
BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang
Wanita high value tidak melihat cinta sebagai satu-satunya jalan kebahagiaan. — Gambar Hiasan
Soalan itu dilontarkan oleh seorang pengguna bernama Lusy di laman Threads dan ternyata, ia membuka pintu kepada pelbagai pandangan menarik kaum Hawa.
Ruangan komen dibanjiri suara wanita yang tampil dengan pengalaman, prinsip dan falsafah cinta masing-masing.
Apa yang mereka kongsi mungkin akan buat kita melihat semula makna dan bagaimana cinta tak semestinya perlu dikejar untuk dimiliki.
Menurut seorang pengguna, Naa_0609, wanita high value tahu meletakkan keutamaan pada diri sendiri.
“Kami tak letak cinta sebagai benda utama dalam hidup. Kami utamakan diri sendiri dalam apa-apa hal, naikkan nilai sendiri.
"Kalau lelaki tak nak stay, buatlah apa pun dia takkan kekal dengan kita. Jadi sia-sia kalau korbankan semua benda untuk orang lain tapi abaikan diri sendiri. Belajar sayang diri sendiri dulu sebelum orang lain," katanya.
Pengguna, Barangviralunik pula memberikan pandangan yang agak lantang, tetapi realistik.
Baginya, wanita yang sudah ada kerjaya, kewangan stabil dan hidup yang penuh makna tidak melihat cinta sebagai satu-satunya jalan kebahagiaan.
“Kerana hidupnya sudah penuh dengan hal menarik iaitu karier, wang dan segala kenikmatan lainnya.
"Sedangkan yang tak punya itu semua, maka pelarian termudah ialah percintaan dengan mengharap kenyamanan daripada pasangan kerana tak mampu wujudkannya sendiri," katanya.
Wanita high value lebih menghargai diri mereka daripada orang lain. — Gambar Hiasan
Pengguna lain, Hrhdzh pula melihat ketenangan wanita high value dalam bercinta sebagai refleksi kepada kematangan dalam mengurus masa dan tenaga.
“Sebab dia tahu hargai masa dan tenaga dia. Jika ia bukan untuknya, ia tidak akan menjadi miliknya pada mulanya.
"Hanya melabur pada orang yang sama-sama nak capai matlamat sama walaupun berbeza personaliti dan gaya hidup," jelasnya.
Bagi Tirzafarhanagtyss, wanita bernilai tinggi tidak melihat cinta sebagai satu perlumbaan atau bukti kepada kewujudan diri mereka.
"Wanita yang bernilai tinggi sudah penuh dengan dirinya dan apa potensi yang dia ada untuk dikembangkan lagi.
"Cinta adalah bonus, bukan sesuatu yang mengisi kekosongan. Dia tidak memerlukan pengesahan, tiada tantrum, tiada drama, kerana ia membuang masa," ujarnya.
Menurut Faidayu, wanita bernilai tinggi tidak hanya meletakkan keutamaan pada cinta tetapi pada komitmen, sasaran dan tanggungjawab.
“Wanita yang bernilai tinggi tidak pernah meletakkan cinta sebagai keutamaan. Mereka menghargai masa dan lebih menghargai diri mereka daripada orang lain.
"Cintai diri sendiri dahulu dan lihat cinta itu sendiri akan menemuinya kepada anda," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram