Kena tetak sebelum dibakar dalam panggung wayang di Alor Setar


  • 112
  • Selasa, 15 Feb 2022

DI dalam bangunan panggung wayang terbiar inilah seorang lelaki ditemui dibunuh dengan kejam di Simpang Kuala, Alor Setar pada Selasa. — Sinar Harian

SEORANG lelaki maut dipercayai ditetak sebelum dibakar dalam satu kejadian di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, di Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara pukul 6.30 hingga 7 pagi.

Menurut G Suresh, siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada tangan dan muka mangsa sebelum lelaki itu turut dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Kemungkinan besar individu melakukan pembunuhan ini ingin pastikan si mangsa mati.

"Ini susulan selepas mangsa ditetak, ada punca kebakaran menggunakan tilam dan sofa yang ditelungkup ke atas badan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Simpang Kuala, Alor Setar pada Selasa.

Sebelum itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kira-kira 7 pagi berhubung kebakaran di bangunan lama berkenaan.

Anggota bomba yang memadam kebakaran kemudian menemukan mayat seorang lelaki di bawah sofa dan tilam yang terbakar.

Namun, Suresh memberitahu, identiti dan kewarganegaraan mayat lelaki berkenaan belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang terbakar.

“Berdasarkan maklumat awal, bangunan berkenaan dijadikan tempat gelandangan rehat ataupun datang waktu malam berdasarkan penemuan barangan dan pakaian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun antara pukul 9 hingga 9.15 pagi bagi membantu siasatan kejadian tersebut.

Menurut Suresh, pihaknya turut merampas sebilah pisau, namun siasatan masih di peringkat awal dan tidak boleh mengaitkan apa-apa penemuan dengan pembunuhan itu.

“Jikalau lihat pada keadaan tempat kejadian, kejadian mungkin boleh dilakukan orang seorang ataupun paling ramai dua orang atau dibantu seorang lagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejadian berkenaan tidak melibatkan insiden berkumpulan ataupun memiliki elemen kongsi gelap atau sebagainya.

"Motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan informasi kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram