SEPASANG kekasih dipercayai mabuk mencetuskan kemarahan ramai apabila membuat bising ketika menonton wayang di sebuah pusat beli-belah terkemuka dekat Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat.
Kedua-dua individu terbabit juga dikatakan sengaja menimbulkan kekecohan apabila mengganggu penonton lain dengan berbual dengan nada tinggi sambil meminum arak.
Situasi itu nyata mengundang kemarahan salah seorang penonton yang bertindak campur tangan lalu menegur pasangan terbabit.
Namun, teguran itu tidak diterima dengan baik dan pasangan itu difahamkan telah membaling minuman alkohol tersebut ke arah individu berkenaan.
Turut melemparkan kata-kata kesat, wanita berseluar pendek itu terus beredar sebaik menunjukkan isyarat lucah ketika kejadian.
Kelakuan itu juga secara tidak langsung telah melanggar larangan pihak panggung wayang untuk tidak membawa masuk makanan ataupun minuman dari luar dengan warganet turut menggesa agar tindakan keras dikenakan terhadap pasangan terbabit.
Namun, belum ada sebarang kenyataan lanjut daripada pihak syarikat panggung wayang itu setakat ini selain belum ada kenyataan daripada polis berhubung insiden itu. Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram