Di ambang tarif elektrik baharu, pengguna ambil sikap 'tunggu dan lihat'


  • Massa
  • Selasa, 24 Jun 2025

Pelaksanaan tarif elektrik baharu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

PELAKSANAAN tarif elektrik baharu yang bermula 1 Julai ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, khususnya membabitkan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup.

Struktur baharu itu dilaksanakan selaras dengan pelarasan semula mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, dengan mengambil kira faktor kenaikan harga bahan api global serta pengurangan subsidi tenaga.

Difahamkan, pelarasan tersebut juga bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap selain menyalurkan bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

BACA LAGI : Rakyat Indonesia sanggup bayar mahal berubat di Malaysia, Melaka-Pulau Pinang disebut tawar fasiliti perubatan terbaik

BACA LAGI : Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar

Namun, tinjauan awal mendapati ramai pengguna sudah bersedia menghadapi perubahan tersebut dan ada yang mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' walaupun maklumat berkenaannya sudah diumumkan lebih awal.

Roziana Ganis

Seorang pekerja swasta, Roziana Ganis, 38, berkata dia tidak terkejut dengan pengumuman tersebut kerana sudah menjangkakan ia akan berlaku.

"Kita sebagai rakyat tiada banyak pilihan. Hanya ikut sahaja apa yang ditentukan kerajaan.

"Saya cuma harap kalau ada kenaikan, biarlah berpatutan. Sekarang pun bil elektrik saya lebih RM100 sebulan, risau bulan depan makin melambung," katanya kepada Majoriti.

Katanya, dalam keadaan semua harga barang meningkat, sebarang tambahan dalam bil elektrik akan menyukarkan lagi pengurusan kewangan bulanan.

"Buat masa sekarang, saya nak tengok bil elektrik bulan depan. Kita tunggu dan lihat," katanya. 

 

Nurul Nabila

Bagi Nurul Nabila Ahmad Halimy, 29, pula, dia melihat pelaksanaan tarif baharu itu dari sudut lebih positif kerana menyifatkannya sebagai satu langkah ke arah ketelusan.

"Sekarang kita boleh nampak dengan jelas apa yang kita bayar, bukan sekadar satu jumlah akhir sahaja. 

"Sistem pelarasan automatik AFA juga lebih adil dan kalau harga bahan api turun, bil pun boleh turun.

"Malah, penggunaan waktu luar puncak seperti malam atau hujung minggu memberi peluang kepada pengguna untuk berjimat," jelasnya.

Menurut Nurul Nabila, walaupun kadar baharu itu tetap memberi kesan kecil kepada bajet bulanan, ia membuka ruang kepada pengguna untuk mengubah tabiat penggunaan elektrik.

"Sebagai pengguna muda, saya masih belajar urus bajet. Walaupun perubahannya kecil, ia tetap perlu diambil kira. Sekurang-kurangnya sekarang kita ada kawalan, bukan sekadar tunggu bil datang setiap bulan," katanya.

Norshazren Izwani

Sementara itu, Norshazren Izwani Ghazali, 23 pula berpandangan bahawa struktur baharu itu membawa pendekatan lebih sistematik dan bersifat mendidik pengguna namun terbuka untuk menunggu untuk melihat perbandingan.

"Bagi saya, ini langkah positif kerana ia memberi lebih ketelusan dalam pengiraan bil serta insentif kepada pengguna yang berjimat cermat,” ujarnya.

Mengulas sama ada ia akan memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan, Norshazren berkata tidak bagi dirinya kerana penggunaan bulanannya kurang daripada 1,000 blok tariff (kWh).

"Dengan penggunaan waktu luar puncak dan pengurusan tenaga yang bijak, saya yakin saya boleh berjimat. 

"Tapi bagi rumah yang guna elektrik tinggi, mungkin akan terasa kesannya jika tidak ubah tabiat penggunaan. 

"Mungkin dari sudut lain kena bandingkan bil bulan ini dan bulan depan baru kita dapat tahu gambaran sebenar tariff baharu ini," katanya.

Untuk rekod, struktur tarif elektrik baharu itu turut menyasarkan pemberian rebat kepada golongan B40 dan M40, sebagai usaha membantu meringankan beban isi rumah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram