
SEMPENA sambutan Hari Kartini pada 21 April di Indonesia, pelbagai bentuk sambutan diraikan bagi memperingati dan mengenang jasa Raden Ajeng Kartini yang berhasil meningkatkan status sosial golongan wanita di negara itu.
Di sebalik keraian Hari Kartini yang juga disambut bersempena Hari Ibu, isu-isu berkaitan kaum Hawa terus menjadi cabaran yang perlu ditangani masyarakat pada masa akan datang.
Selebriti terkenal Indonesia, Cinta Laura, antara yang meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap situasi semasa yang dihadapi wanita di negaranya.
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku semasa bayi
Cinta Laura menzahirkan kebimbangannya terhadap isu sosial dihadapi golongan wanita yang menurutnya masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Cinta Laura berasakan bahawa walaupun pelbagai kemajuan dicapai, masih terdapat ramai wanita menjadi mangsa keganasan dan gangguan seksual.
Dalam satu acara istimewa bertajuk Terbitlah Terang: Pembacaan Surat-surat Negara yang berlangsung di Muzium Nasional Indonesia, Indonesia pada Isnin, Cinta Laura menzahirkan kebimbangannya terhadap isu sosial yang menurutnya masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
"Apa yang saya perjuangkan ialah memerangi keganasan dan gangguan seksual di negara kita. Walaupun Undang-undang Tindak Pidana Kekerasan Seksual (TPKS) diluluskan sejak 2022, pelaksanaannya masih jauh dari sempurna. Ini amat menyedihkan," tulis Cinta Laura.
Tambahnya, walaupun keganasan dan gangguan seksual boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mahupun usia, golongan wanita masih menjadi mangsa utama dalam kebanyakan kes.
"Saya sedar lelaki dan kanak-kanak juga boleh menjadi mangsa. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa wanita merupakan majoriti mangsa.
"Ini menyakitkan hati saya kerana walaupun zaman sudah berubah, mangsa di negara kita masih sering dipersalahkan," katanya.
Sebagai seorang tokoh yang konsisten memperjuangkan hak wanita sejak lebih 10 tahun lalu, Cinta Laura berharap media sama ada televisyen mahupun platform digital dapat memainkan peranan yang lebih adil dalam melaporkan kes-kes berkaitan keganasan dan gangguan seksual.
“Saya akan terus bersuara agar kita bebas daripada gangguan dan keganasan.
"Wanita berhak untuk berasa selamat dan selesa di mana sahaja mereka berada," tegas beliau.
Menerusi acara Terbitlah Terang , Cinta Laura turut mengambil bahagian dalam sesi pembacaan surat-surat karya Raden Ajeng Kartini yang merupakan tokoh pejuang hak wanita Indonesia.
Majlis itu merupakan hasil kerjasama antara Titimangsa dan Yayasan Bakti Budaya Djarum, yang bertujuan menghidupkan semula semangat perjuangan Kartini dalam konteks isu sosial masa kini.
Untuk rekod, Hari Kartini disambut setiap 21 April di Indonesia bagi memperingati jasa besar Raden Ajeng Kartini, yang dikenali sebagai pelopor hak wanita khususnya dalam bidang pendidikan dan persamaan hak.
Peringatan itu bukan sekadar simbolik tetapi menjadi satu momentum penting untuk meneruskan cita-cita Kartini yang membina masyarakat yang adil dan setara untuk semua. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram