[VIDEO] 'Saya kotor taknak susahkan orang', OKU bertongkat Slim River sah terima bantuan Baitulmal RM400, BTB dihentikan


  • Massa
  • Khamis, 03 Jul 2025

Jefree kelihatan bertongkat seorang diri ketika dalam perjalanan mahu membeli makanan.

TULAR sebuah video menyentuh hati sejak Rabu memaparkan seorang orang kelainan upaya (OKU) fizikal berada di tepi jalan yang dibantu seorang individu ketika sedang dalam perjalanan membeli makanan sekitar Slim River, Perak.

Dalam video berdurasi seminit 52 saat itu, kelihatan lelaki berkaki satu tersebut bertongkat dengan kepalanya ditutup plastik supaya tidak terkena air hujan.

Menyedari kesukaran dihadapi OKU dikenali sebagai Jefree Regan itu, seorang individu berhati mulia tampil memberhentikan kenderaan untuk bertanya keadaannya sambil bertanya destinasi mahu ditujunya.

BACA LAGI: Remaja OKU dituduh bunuh warga emas guna cota tepi kedai runcit di Tanah Merah

BACA LAGI: Lafaz taklik Braille sah selagi menepati rukun nikah, mudahkan golongan OKU — Peguam

"Saya mahu beli makanan, tetapi sekitar sini tiada kedai makan. Hujan lebat dan saya kotor, jadi tiada siapa mahu tolong. Saya tinggal seorang diri dan ibu bapa sudah tiada," katanya.

Ketika ditanya mengenai kecacatan dialaminya, OKU tersebut menyatakan ia disebabkan kebakaran rumah pernah dihadapinya dan dia tidak sempat menyelamatkan diri.

Simpati akan nasib menimpa OKU berkenaan, lelaki itu menawarkan diri untuk membawanya ke kedai berhampiran, namun pelawaan terbabit pada awalnya ditolak kerana tidak mahu mengotorkan kereta individu berhati mulia berkenaan.

Namun, selepas menyatakan niat murninya, individu mengalami kecacatan itu terbuka untuk menaiki kereta terbabit dengan dia berkongsi kisah peribadinya sepanjang dalam perjalanan.

Usai membantu OKU tersebut membeli sebungkus nasi dan beberapa makanan lain, lelaki berkenaan sekali lagi menghulurkan bantuan dengan membawanya pulang ke rumah yang difahamkan berada sekitar Kampung Sungai Bil, Slim River.

Kediamannya yang kosong tanpa perabot juga cukup menyentuh hati kerana bekalan elektrik sudah dipotong kerana tidak dibayar untuk beberapa bulan, sekali gus menyaksikannya hidup dalam kegelapan.

Kisah pilu tersebut kemudian dikongsikan di pelbagai platform media sosial dengan orang ramai mahu menghubungi lelaki tersebut supaya dapat menghulurkan bantuan sepatutnya.

Malah, ada juga yang mendesak supaya pihak berkuasa agar segera mengesan individu tidak bernasib baik itu untuk membantunya daripada terus hidup dalam kesulitan sebegitu.

Namun, dalam kenyataan diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin pada Khamis, OKU tersebut sebelum ini sudah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya menerima maklumat berkenaan video tular melibatkan Jefree Regan. Ramai yang berkongsi video tersebut dengan pelbagai reaksi dan persoalan. Untuk makluman semua, Jefree merupakan individu OKU fizikal berdaftar dengan JKM sejak 2013.

"Ini selepas dia mengalami kecederaan kekal akibat kebakaran yang menyebabkan kehilangan kaki kirinya. Dia pernah menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), namun ditamatkan apabila dia mula menerima bantuan tetap daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan, iaitu melebihi jumlah bantuan BTB. Dia juga menerima bantuan beras secara berkala," tulisnya.

Jelasnya lagi, ini bukanlah kali pertama individu tersebut tular di media sosial dengan ADUN berkenaan meminta agar orang ramai supaya lebih peka akan hal tular di media sosial sebelum memberi pandangan peribadi.

"Biarlah niat membantu disalurkan dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Pusat Khidmat kami sentiasa terbuka untuk menerima cadangan serta saluran bantuan yang ingin disampaikan kepada mana-mana individu memerlukan," tulisnya lagi.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram