
DALAM dunia dekorasi dan perabot moden hari ini, kelestarian sering menjadi sekadar kata kunci pemasaran.
Namun, bagi Pengasas The Green Factory (TGF), Harith Ridzuan, ia merupakan satu falsafah hidup yang diterjemahkan dalam setiap rekaan, bahan dan proses kerja.
Dalam temubual bersama Majoriti, beliau membuka kisah bagaimana sebuah bengkel kecil mampu berkembang menjadi peneraju industri perabot lestari di Malaysia sambil menjulang nilai kemelayuan dalam reka bentuk tempatan.
BACA LAGI: Mahu ubah nadi rumah anda? 5 reka bentuk dapur memenuhi selera setiap cita rasa
BACA LAGI: Manfaat pelihara haiwan, pupuk disiplin, rangsang kemahiran motor kanak-kanak
Harith menegaskan identiti Melayu menjadi asas penting dalam produk keluarannya.
"Saya mula terlibat dalam industri kayu selepas pulang dari luar negara. Ketika itu saya terkejut apabila mengetahui Malaysia antara penyumbang kadar pembalakan tertinggi di dunia. Itu menjadi titik tolak saya untuk membina sesuatu yang lebih lestari," kata Harith kepada Majoriti.
TGF bermula dengan inisiatif kecil menggunakan kayu palet terpakai untuk menghasilkan perabot rumah.
Daripada situ, Harith mula mendalami ilmu pembuatan secara beretika dengan meneliti dari sumber bahan mentah, penggunaan gam, lapisan kemasan, pembungkusan hinggalah kepada reka bentuk akhir.
"Kami tidak hanya fokus kepada bahan mentah, tetapi juga kepada setiap proses yang terlibat. Kami bangunkan sistem dalaman yang kami namakan Proactive Print System bagi memantau dan menambah baik setiap langkah pengeluaran."
Lebih istimewa, TGF bukan sekadar berjuang untuk alam sekitar tapi ia juga mengekalkan warisan budaya.
TGF bermula dengan inisiatif kecil menggunakan kayu palet terpakai untuk menghasilkan perabot rumah.
Harith menegaskan identiti Melayu menjadi asas penting dalam produk keluarannya.
"Reka bentuk kami sarat dengan elemen kemelayuan. Kami menggunakan nama produk dalam bahasa Melayu, selain menampilkan motif batik, tenunan atau corak kain pelikat. Ia bukan sahaja memperindah ruang, malah menyimpan cerita bangsa."
Produk keluaran TGF juga bukan sekadar hiasan mata, tetapi disokong oleh kajian menyeluruh demi ketahanan dan keselesaan pengguna.
TGF bukan sekadar berjuang untuk alam sekitar tapi ia juga mengekalkan warisan budaya.
Menyedari keperluan berbeza setiap individu, Harith mementingkan fungsi dan kebolehgunaan, dari papan pemotong ringan sehinggalah ke perabot berat yang diperbuat daripada kayu balau.
"Contoh papan pemotong, kita buat lebih ringan sebab ia digunakan setiap hari. Tapi papan hidang lebih berat kerana penggunaannya jarang. Rekaan kami disesuaikan dengan gaya hidup dan juga memastikan ia terus mesra alam," katanya lanjut.
Selain daripada produk rumah, TGF turut menawarkan barangan kraf tangan yang sesuai dijadikan cenderamata pelancongan.
Produk itu direka bentuk dengan saiz dan berat yang sesuai untuk dibawa menaiki kapal terbang sekali gus menjadikan ia pilihan praktikal dan unik buat pengunjung luar negara.
TGF mengurangkan kebergantungan terhadap penebangan hutan, sekali gus membantu memulihara ekosistem.
Reka bentuk yang kelihatan tradisional ini tidak mengorbankan nilai kontemporari.
Sebaliknya, ia diterjemah melalui pendekatan moden dalam pembuatan dan aplikasi.
TGF menggabungkan nilai estetika lama dengan keperluan ruang moden untuk menjadikannya sesuai bagi kediaman bergaya urban.
"Kami sebenarnya menyesuaikan elemen warisan dengan reka bentuk moden. Jadi ia tak nampak ketinggalan, malah menambah nilai kepada suasana rumah moden."
Gabungan nilai estetika lama dengan keperluan ruang moden menjadikannya sesuai bagi kediaman konsep urban.
Impak positif TGF bukan sahaja kepada pengguna, malah turut menyentuh komuniti dan pekerja mereka.
Dengan memilih bahan terpakai dan sumber lestari, TGF mengurangkan kebergantungan terhadap penebangan hutan, sekali gus membantu memulihara ekosistem.
"Kami juga gunakan salutan mesra alam seperti minyak biji rami dan minyak kelapa yang selamat untuk pekerja dan pengguna. Kalau dulu pekerja selalu terdedah kepada bahan toksik, kini mereka rasa lebih selesa dan sihat di tempat kerja."
Selain dekorasi rumah, pelanggan juga berpeluang mendapatkan barangan kraf tangan sebagai cenderamata.
Kos penghasilan produk mesra alam sememangnya lebih tinggi, namun Harith percaya ia pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada ramai pihak.
Permintaan terhadap produk lestari semakin meningkat di seluruh dunia dan Harith mahu Malaysia tidak ketinggalan.
"Dulu masa mula-mula, tak ramai faham konsep kayu kitar semula. Tapi sekarang semua cari kami. Bukan sebab trend semata-mata, tetapi kerana kesedaran pengguna tentang tanggungjawab sosial dan alam sekitar semakin tinggi."
Kini, TGF bukan sahaja berurusan dengan jenama tempatan tetapi juga antarabangsa seperti Rolls Royce, Ferrari dan Coca-Cola.
Mereka turut bekerjasama dengan syarikat besar tempatan seperti AirAsia dan Prasarana.
"Kita bukan hanya gunakan kayu terpakai, tapi juga sisa tekstil, kain, malah hasil pertanian. Semua ini menunjukkan bahawa apa jua industri pun, ada ruang untuk kelestarian."
Memandang ke hadapan, Harith optimis industri hijau akan terus berkembang bukan hanya dalam pembuatan, tetapi merangkumi seluruh rantaian nilai ekonomi.
Reka bentuk kelihatan tradisional itu tidak mengorbankan nilai kontemporari.
Beliau menyeru lebih ramai pemain industri untuk beralih kepada kaedah pengeluaran lestari.
"Sustainability bukan tentang alam sekitar semata-mata. Ia tentang masa depan dan bagaimana kita boleh terus hidup dan terus berkembang tanpa memusnahkan sumber yang ada. Ia adalah tanggungjawab semua."
The Green Factory berdiri sebagai bukti bahawa perabot dan dekorasi bukan sekadar barang perhiasan, tetapi boleh menjadi simbol perjuangan untuk alam sekitar, budaya dan generasi akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram