[VIDEO] Ibu 2 anak kecil kongsi menu sahur simple, snek guna lebihan nasi, lauk kicap butter


  • Hobi
  • Isnin, 24 Mac 2025

Antara dua menu yang boleh dicuba untuk memberi semangat kepada kanak-kanak untuk bersahur.

RAMADAN bukanlah dikhususkan untuk individu dewasa sahaja, malah kanak-kanak juga tidak terkecuali menikmati hidangan berzat dan membekalkan nutrisi baik ketika bersahur mahupun berbuka puasa.

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan besar dalam memperkenalkan anak-anak kepada amalan berpuasa secara perlahan-lahan.

Disebabkan itu, pemilihan makanan sangat penting untuk memikat hati anak pada masa memastikan mereka mendapat nutrisi yang cukup sepanjang Ramadan ini.

BACA LAGI: [VIDEO] TikTokers Sin Yee kongsi resipi ikan cuka versi Baba Nyonya, wajib guna 3 bahan utama, pastikan segar dan asli

BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar

Yuyu (kanan) bersama suami dan dua anaknya, Maddy (tengah) dan Melly (depan, kiri). — Instagram/Yuyu

Sama seperti seorang pencipta kandungan di media sosial, Normasidayu Abdul Halil, 28, atau lebih dikenali sebagai Yuyu yang sering berkongsi pelbagai idea masakan bersama dua anak kecilnya.

Meskipun anak pertamanya, Maddy berusia 6 tahun dan Melly, 2, Yuyu tetap menerapkan rutin bersahur untuk memberi pendedahan tentang kepentingan berpuasa.

Katanya, ia juga bukan  tugas yang mudah dan disebabkan itu beliau sentiasa menyediakan hidangan menarik, tetapi mudah untuk disediakan kepada anak-anaknya.

"Untuk makanan saya akan pastikan ia membekalkan tenaga buat mereka (anak-anak).

"Macam Maddy selalu sahur dan saya elak sediakan makanan berat seperti mi goreng.

"Saya akan beri susu penuh krim dan hidangan ringkas supaya kenyang sekurang-kurangnya sehingga tengah hari," katanya kepada Majoriti.

Kata Yuyu, terdapat dua menu menjadi kegemaran dan pemangkin selera anak-anaknya untuk bersahur.

Kicap mentega

Mungkin menu itu janggal didengari, namun sekurang-kurangnya ia memikat hati anak-anak bersahur dengan tenang dan kenyang.

"Ini makanan kegemaran anak-anak. Mudah sahaja caranya letak apa saja jenis mentega di dalam kuali dan sedikit minyak, campurkan herba, serbuk perasa secukupnya, kicap, bawang Holland, potongan kentang dan ayam.

"Campurkan semuanya dan bakar sehingga masak di dalam ketuhar atau penggoreng udara (air fryer)," kongsinya.

Katanya, hidangan itu lebih sedap sekiranya dimasak di dalam ketuhar berbanding di atas dapur gas biasa.

Snek nasi

Selain itu, hidangan snek juga pilihan ideal. Jika mempunyai lebihan nasi di rumah, sememangnya sesuai disediakan.

Rice fritters atau lebih dikenali sebagai snek nasi itu hanya menggunakan bahan mudah didapati di dapur seperti sayur-sayuran dan telur.

"Untuk ibu macam saya yang sibuk dengan kerja di luar, menu ini sangat sesuai.

"Cara nak buat pun mudah hanya campurkan nasi, telur atau bahan tambahan lain dan goreng di atas kuali. Hasilnya nanti macam murtabak nipis dan rangup," katanya.

Walaupun kesuntukan masa menyiapkan keperluan anak-anak, Yuyu akan memastikan kesemua hidangan disediakan mempunyai nutrisi dan khasiat mencukupi.

Justeru, Yuyu menekankan bahawa setiap hidangan kanak-kanak perlu disertakan dengan susu bagi menguatkan tulang dan memberi tenaga kepada mereka sepanjang menjalani ibadah puasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram