[VIDEO] 'Cinta antara benua', renyah jual nasi lemak, roti popular Hungary 'ikut tekak' orang kampung akhirnya buka pintu rezeki di Perak


  • Bisnes
  • Khamis, 26 Jun 2025

Keputusan Elsuraya berhijrah ke Hungary membuahkan hasil selepas berjaya menjalankan perniagaan Langos di Perak.

LEBIH 9,000 kilometer (km) jauh dari benua Eropah, Langos kini mendapat tempat di hati penduduk Kampung Teluk Bakong, Perak.

Pastinya asing didengari, Langos merupakan roti lembut digoreng di dalam minyak panas sehingga menghasilkan tekstur rangup di luar dan gebu di dalam.

Menu yang dihidang bersama keju krim masam (sour cream), bawang putih minyak zaitun itu juga adalah antara makanan jalanan terkenal yang berasal dari Hungary.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bantal busuk' jadi ilham pasangan usahawan bina empayar Leyna, bantu ekonomi komuniti

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga

Aneka Langos yang dijual di kedai pasangan suami isteri tersebut.

Hasil usaha pasangan unik, Barak Norbert atau nama Muslimnya, Adam Mat Salleh, 41, dan isterinya, Elsuraya Hj Mohamed, 54, Langos akhirnya menapak di bumi Malaysia.

Langos hasil cinta di Hungary

Berbekalkan sedikit semangat dan azam, Elsuraya yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah firma kejuruteraan di Petaling Jaya, Selangor itu nekad meninggalkan kehidupannya demi berhijrah ke Budapest, Hungary pada 2011.

Perjalanannya bermula selepas bertemu dengan seorang lelaki warga Hungary, Adam yang menjalankan perniagaan benih bunga orkid dari Asia Tenggara.

Siapa sangka, daripada sekadar bertukar bahasa, hubungan mereka menjadi lebih akrab sehingga ke jinjang pelamin.

Adam (kiri) dan Elsuraya (kanan) ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Selepas beberapa bulan menjalani kehidupan suami isteri di Hungary, mereka membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman Elsuraya iaitu di Perak pada 2014.

"Sebelum ada Langos, kami mula dengan jual nasi lemak hadapan rumah.

"Tetapi tak mampu bertahan lama sebab prosesnya terlalu renyah, perlu bangun awal pagi untuk sediakan semua bahan.

"Sejak daripada itu saya bincang dengan Adam cari benda mudah untuk dijual dan dia beri idea Langos.

"Pada awalnya kami jual secara kecil-kecilan dengan satu payung kecil, meja, kuali dan dapur gas sahaja.

"Modal pula tak keluarkan terlalu banyak hanya untuk beli bahan Langos sebab alatan masak semua sudah ada," katanya kepada Majoriti.

Perniagaan Langos pertama di Malaysia dimulakan secara kecil-kecilan di Perak.

Sesuaikan citarasa tempatan

Tidak dapat dinafikan, memperkenal dan menyesuaikan makanan asing kepada citarasa tempatan bukanlah tugas mudah buat pasangan itu.

Menurut Elsuraya, mereka terpaksa memberi sampel percuma kepada pelanggan setiap hari selama kira-kira enam tahun sebelum jualan benar-benar stabil.

"Sepanjang kami berniaga, kalau buat 10 kilogram (kg) adunan, 3kg atau 4kg kami akan potong kecil-kecil dan beri pelanggan rasa secara percuma.

"Roti Langos ini juga dihidang dengan sos keju krim masam, tetapi disebabkan nak sesuaikan dengan tekak orang kampung di Malaysia, kami hasilkan pelbagai sos seperti sambal bilis, kaya, coklat dan ayam paprika.

"Hari demi hari, kami tambah kepelbagaian menu iaitu Langos Pizza dan burger yang rotinya menggunakan Langos," jelasnya.

Sampel Langos diberikan percuma kepada pelanggan pada awal perniagaannya.

Langos dikenali seluruh Malaysia

Bermula dari pasar malam dan pasar pagi, perniagaan Langos pasangan itu mula dikenali seluruh Malaysia.

Kongsi Elsuraya, nama Langos mula meniti di bibir pelanggan selepas menerima tempahan di majlis-majlis perkahwinan di sekitar Perak.

Perniagaannya juga menuju ke puncak kejayaan setelah mendapat liputan media di siaran televisyen ketika dunia dilanda wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perniagaan Langos semakin mendapat permintaan tinggi ketika wabak Covid-19.

"Selepas siaran itu, telefon tak berhenti berdering dan sampai kami terpaksa menolak pesanan dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang sebab Langos perlu dimakan segera.

"Alhamdulillah, rezeki ALLAH bagi, kami mampu jual sebanyak 50kg adunan sehari dan jualan harian mencecah lebih RM4,000 setiap hari.

"Daripada kami berdua sahaja, kami juga mampu besarkan lagi kawasan berniaga di hadapan rumah, tambah khemah, meja, kerusi, alat memasak dan beberapa pekerja untuk uruskan perniagaan," kongsinya. 

Katanya, sokongan komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memberi impak besar kepadanya apabila mereka ditawarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit untuk menyediakan ruang premis lengkap di hadapan kediamannya.

Selain sos buatan sendiri, mereka juga memperkenalkan kari daging Hungary yang diolah sesuai dengan citarasa masyarakat Melayu untuk dimakan bersama Langos.

"Alhamdulillah penerimaan mereka sangat memberangsangkan dan boleh terima semua menu kami di sini," katanya.

Kepelbagaian menu yang dijual di kedai Langos Citarasa Hungary.

Tambahnya, ia juga didorong oleh faktor harga yang dikenakan iaitu serendah RM2 sehingga RM25 mengikut aneka Langos.

Lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti, pasangan tersebut juga memilih untuk fokus kepada satu cawangan sahaja.

Operasi perniagaannya juga dibuka setiap hari kecuali Khamis dan menu Langos hanya dijual pada Jumaat hingga Ahad.

Manakala, Isnin hingga Rabu menu yang dijual adalah ayam goreng, cendol dan lain-lain bermula 1 Julai ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram