
BERPEGANG teguh pada konsep berjasa pada komuniti, pasangan usahawan Nastasha Nordin dan Azli Azhar meneroka dunia perniagaan dengan pendekatan berbeza.
Bukan sekadar mencari keuntungan semata, matlamat utamanya adalah ingin menabur bakti menerusi produk yang melengkapi kehidupan harian.
Maka, terlahirkan jenama bantal Leyna sebagai alternatif lebih sihat dan mesra pengguna.
Bantal Leyna yang memberikan keselesaan dan inovasi lebih sihat kepada pengguna. — Instagram/Leyna
Menyedari bahawa kualiti tidur antara asas utama setiap manusia, Nastasha tampil dengan penyelesaian praktikal bukan sahaja mementingkan keseselasaan, malah memberi inovasi baharu yang lebih lestari.
Kebanyakan orang mungkin lebih memilih bantal organik yang diperbuat daripada kekabu atau bulu itik.
Nastasha bagaimanapun mengambil pendekatan berbeza dengan mengeluarkan bantal menggunakan bahan sintetik iaitu poliester berkualiti tinggi dan boleh dibasuh atau dibersihkan.
Istimewanya, Leyna juga menawarkan rekaan bantal yang membolehkan pengguna membuat pelarasan mengikut kesesuaian dan keselesaan mereka.
Mendidik masyarakat tentang kebersihan alat tidur demi kesihatan kulit dan pernafasan juga menjadi misi utama produk bantal Leyna dihasilkan.
"Sejak kecil saya memang ada bantal busuk dan ia diperbuat daripada kekabu asli dan memang kebiasaannya tak dibasuh langsung sampai saya sekolah menengah.
"Muka saya ketika itu juga banyak jerawat dan ada alami resdung yang teruk sampai tahap hilang deria bau.
"Antara faktornya selain pemakanan adalah persekitaran kotor dan paling dekat dengan kita adalah bantal.
"Daripada itu saya mula sedar bantal yang selalu kita peluk, hidu dan bernafas menyumbang kepada kesihatan.
"Jadi, muncul idea saya untuk hasilkan bantal yang mudah dibasuh dalam mesin pencuci," katanya kepada Majoriti.
Terdapat perbezaan antara bahan sintetik (kiri) dan organik (kanan). — Gambar hiasan
Organik vs sintetik
Bercerita tentang cara mendapatkan bantal yang empuk dan lembut, terdapat dua jenis bahan sering digunakan penggiat industri iaitu organik dan sintetik.
Menurut Nastasha, bantal organik seperti kekabu asli atau bulu itik sememangnya mempunyai kualiti lebih tinggi dan keselesaan kepada pengguna berbanding sintetik.
Akan tetapi, bantal organik tidak mempunyai ketahanan yang lama kerana ia akan menipis sekiranya kerap dibasuh.
Manakala, bantal sintetik diperbuat daripada poliester pula tahan lebih lama dan tidak mudah mengecut walaupuns sering dicuci.
"Selalunya pengguna lebih gemar guna bantal organik sebab nak tidur lebih selesa.
"Disebabkan itu, bantal Leyna dibuat untuk beri hasil yang sama dengan menggunakan bahan fiber poliester berkualiti.
"Bila kita basuh bantal setiap hari bentuk tak akan berubah dan susah untuk bakteria atau haiwan melekat berbeza dengan kekabu asli yang ada tarikan dengan benda hidup seperti serangga.
"Kami juga nak didik masyarakat supaya selalu cuci bantal mereka untuk mengelakkan penyakit kulit seperti ekzema, resdung dan sebagainya," jelasnya.
Usaha Nastasha dalam membangunkan jenama Leyna membuahkan hasil. — Instagram/Leyna
Di sebalik jualan jutaan ringgit
Bercerita pula tentang awal kelahiran Leyna, bekas jurutera itu tidak menafikan ia bukan satu perjalanan mudah baginya dan suami.
Bergelar ibu kepada tiga orang anak dan isteri sepenuh masa menjadi detik awal buatnya untuk memulakan perniagaan.
Ceritanya, Leyna secara rasmi memasuki pasaran tempatan pada 2018 dan berkembang maju sehingga sekarang.
Katanya, nekadnya bermula selepas melihat keadaan kerjaya suami yang juga pernah bekerja sebagai jurutera tidak stabil.
"Waktu itu, industri kejuruteraan ada masalah dan ramai dibuang kerja. Suami pun beritahu saya untuk buat sesuatu sebagai persediaan.
"Jadi, sejak daripada itu saya yakin untuk mula berniaga pada masa sama sumbangkan jasa kepada masyarakat," kongsinya.
Berkat bersabar dan semangat yang tidak pernah putus, Nastasha bersyukur sambutan pelanggan amat memberangsangkan pada tahun pertama iaitu sebanyak RM4 juta.
"Memang sangat drastik lonjakannya ketika itu dan setiap tahun ia meningkat dan paling banyak pernah capai sampai RM22 juta.
"Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19 pun jualan masih berjalan dengan baik.
"Tetapi, pada 2023 dah mula menurun kepada RM6 juta dan kami rasa mungkin disebabkan persaingan daripada sudut promosi," katanya.
Mengambil pendekatan dengan menjual menggunakan sistem ejen, jual semula atau reseller, Nastasha tidak menafikan ia antara strategi yang membuahkan hasil lumayan.
Namun, seiring masa berlalu, semakin banyak persaingan mungkin memberi satu cabaran baharu buatnya.
Nastasha bagaimanapun tidak melihat ia sebagai pematah semangat, bahkan menjadi satu batu loncatan untuk terus melebarkan sayap Leyna.
"Bagi saya, saya lebih suka 'bina' (didik) manusia dan sebab itu sistem reseller ini memang saya guna sampai sekarang.
"Sebab saya fikir, kita perlu guna kelebihan yang kita ada untuk membantu orang lain dan pada masa sama bantu mereka jana pendapatan sendiri.
"Walaupun saya pengasas dan majikan, tetapi saya tetap daftar diri sebagai reseller dan bina kumpulan sendiri.
"Saya jual sama macam mereka dan baru boleh buktikan saya berjaya lakukan," ujarnya.
Ahli keluarga menjadi sistem sokongan kuat dalam perniagaan Leyna. — Facebook/Leyna
Tidak pernah seorang diri
Setiap kejayaan tidak hadir dengan mudah, Nastasha meluahkan rasa syukur apabila dikelilingi insan-insan kuat yang memberi sokongan penuh terhadapnya.
"Satu perkara paling buatkan saya bersyukur adalah bila setiap kali bangun tidur ada sistem sokongan yang sangat kuat.
"Ibu mertua juga duduk dengan saya dan seorang yang sangat memahami kepayahan kami.
"Mak saya, adik beradik pun sanggup jaga anak-anak bila saya terpaksa ke luar negara untuk uruskan perniagaan," katanya.
Bagi Nastasha, suami juga melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai usahawan bersama, suami dan ayah.
"Kalau tanya saya, perjuangan saya adalah membina manusia. Tetapi suami saya pula adalah bantu untuk melaksanakan perjuangan isterinya.
"Anak-anak juga Alhamdulillah faham dengan kerjaya kami dan tak pernah mengeluh sepanjang lebih lapan tahun menyasikan perjuangan kami," ucapnya.
Sementara itu, perniagaan bantal Leyna kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Shah Alam, Selangor; Miri, Sarawak dan Sandakan, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram