'Kita ada jalan cerita sendiri', lelaki selamba hulur RM50 bantu banduan baru keluar penjara


  • Massa
  • Isnin, 30 Jun 2025

Pengguna Facebook itu menghulurkan wang ringgit untuk meringankan beban bekas pesalah tersebut.

SUDAH menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat untuk terus membantu mana-mana individu yang tampil meminta sokongan dengan harapan apa dilakukan dapat mencipta keharmonian.

Ia seperti mana dilakukan seorang pengguna Facebook, Muhammad Iqbal Hamzah yang menceritakan bagaimana dia hadir meringankan beban dipikul seorang bekas banduan.

Kisah terbabit disampaikan di laman media sosial peribadinya pada 23 Jun lalu dengan mengatakan individu tersebut meminta bantuannya yang ketika itu berada di Seremban, Negeri Sembilan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pecah tabung guna mesin 'grinder', polis buru suspek larikan derma hampir RM150 di Ipoh

BACA LAGI: 'Ini beg ke-99', Azhan Rani mahu genapkan 100 kali derma darah, bantu yang memerlukan

"Brader ni ketuk tingkap kereta aku sambil memperkenal dirinya. Katanya, baru sahaja keluar dari Penjara Jelebu, tumpang kereta orang sampai ke Seremban.

"Aku tanya terus sahaja, apa dimahukannya? Katanya, nak duit sedikit untuk beli tiket bas ke Melaka. Dia orang Melaka, anaknya ada di sana dengan emaknya yang menjaga. Bini sudah tiada, cerai katanya," tulisnya.

Melihat kepada niat murni ditonjolkan pengguna Facebook tersebut, usahanya membantu lelaki tersebut wajar dipuji kerana ia memberi sinar harapan buat bekas banduan itu kembali ke pangkal jalan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesalahan dilakukan pesalah berkenaan kerana tidak diceritakan lanjut, tetapi kisah dikongsikan itu menceritakan terdapat usaha baginya memperbaiki keadaan.

Individu diceritakan dalam perkongsian tersebut difahamkan menjalani hukuman di Penjara Jelebu.

Tetapi, sekiranya dilihat kepada Penjara Jelebu, terdapat kemungkinan individu terbabit pernah melakukan kesalahan berhubung penyalahgunaan dadah.

Mengulas lanjut, permintaan lelaki tersebut tidak disoal lanjut dengan Iqbal segera menghulurkan sejumlah wang untuk membolehkannya menghala ke destinasinya itu.

"Aku hulur terus RM50, siap pesan kepadanya untuk terus balik ke Melaka, jangan ke mana-mana pula. Katanya, dia dari Penjara Sungai Udang, dipindah ke Penjara Jelebu. Dua tahun dalam tahanan.

"Kalau dia tipu, tipulah. Kalau dia cakap betul, harap-harap insaf lah. Kita masing-masing ada jalan cerita," tulisnya lagi.

Sama ada bekas banduan itu bercakap jujur atau tidak, usaha Iqbal itu sememangnya wajar disokong kerana ia sedikit sebanyak menyemai sikap nilai murni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram