[VIDEO] Pecah tabung guna mesin 'grinder', polis buru suspek larikan derma hampir RM150 di Ipoh


  • 112
  • Khamis, 13 Feb 2025

Tangkap layar rakaman seorang lelaki bertindak mencuri tabung surau di Kampung Tawas, Ipoh baru-baru ini.

POLIS memburu seorang suspek lelaki didakwa melarikan wang tabung derma sebuah surau di Kampung Tawas, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Menggunakan mesin grinder untuk memecahkan tabung surau tersebut, tingkah laku suspek dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihak polis telah mengesan satu video tular berhubung kes kejadian.

BACA LAGI: Nelayan tergamam jumpa rangka manusia tepi pantai di Pekan, tiada kes Orang Hilang jadikan identiti si mati masih misteri

BACA LAGI: [VIDEO] Hidupkan mesin tak toleh kiri kanan, kecuaian rakan sekerja punca operator kilang maut tersepit mesin hidraulik di China 8 tahun lepas

Abang Zainal berkata, satu laporan kes kecurian membabitkan kerugian kira-kira RM150 telah diterima berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.03 petang pada 21 Januari lalu.

“Siasatan awal mendapati pengadu, lelaki tempatan berusia 42 tahun yang berkhidmat sebagai setiausaha surau mendapati wang di dalam kotak itu telah dicuri.

“Semakan rakaman kamera CCTV menunjukkan suspek lelaki tidak dikenali memotong kunci tabung derma menggunakan alat pemotong besi elektrik dan mengambil semua wang tunai di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan wang yang dicuri dianggarkan berjumlah RM150.

“Polis memandang serius perbuatan jenayah di rumah ibadat dan kekal komited untuk membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta keamanan awam.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Sarjan Nor Shila di talian 011-11454886 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram