[VIDEO] Polis kesan wanita cantik didakwa curi telefon di Cheras


  • Kes
  • Ahad, 29 Jun 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita bertudung hitam mencuri telefon pintar di sebuah premis perniagaan di Batu 9 dekat Cheras, Selangor pada Jumaat lalu.

POLIS sedang mengesan seorang wanita yang didakwa mencuri telefon pintar di sebuah premis perniagaan di Batu 9 dekat Cheras, Selangor pada Jumaat lalu.

Kejadian itu turut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan dan turut tular di media sosial sehari selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Muka cantik tapi sayang...', wanita didakwa curi telefon milik pekerja kedai di Cheras

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 27 Jun lalu, sekitar pukul 9.48 malam.

Menurut beliau, laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang bekerja di premis tersebut.

Katanya, mangsa memaklumkan telefon pintar miliknya jenis Huawei Nova 5G yang diletakkan di atas meja kaunter hilang dan dipercayai dicuri.

"Hasil semakan rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita telah mengambil telefon pintar tersebut ketika mangsa sedang bertugas di kaunter.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ammar Mohd Tahir di talian 018-2586153.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang wanita bertudung hitam mencuri telefon pintar yang difahamkan milik pekerja ketika ia ditinggalkan dan sedang dicaj.

Individu tersebut pada awalnya memerhati peranti berkenaan sebelum pantas mengambilnya ketika orang ramai tidak menyedari tindakan berkenaan.

Kejadian berkenaan kemudian dikongsikan di media sosial dengan pemilik telefon pintar tersebut mengharapkan suspek dapat memulangkannya sebelum tindakan lanjut diambil pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram